KPT Perkukuh Strategi Pendidikan Tinggi Menerusi Belanjawan 2027

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 26 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Kementerian Kewangan (MoF) mengadakan sesi libat urus bagi meneliti cadangan inisiatif Belanjawan 2027 dalam usaha memperkukuh strategi serta ekosistem pendidikan tinggi negara.

Sesi yang berlangsung pada 24 Ogos itu dipengerusikan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Perbincangan memberi penekanan kepada pendekatan strategik untuk melahirkan graduan yang kompetitif dan memenuhi keperluan pasaran, selain memastikan kebajikan pelajar terus diberi perhatian. Usaha memperluas pengkomersialan hasil penyelidikan serta penerapan teknologi terkini dalam sektor pendidikan tinggi turut menjadi antara agenda utama yang dibincangkan.

Antara keutamaan yang diketengahkan KPT dalam cadangan Belanjawan 2027 ialah mempercepatkan transformasi digital serta pembangunan infrastruktur pintar bagi memastikan institusi pendidikan tinggi kekal berdaya tahan dan responsif terhadap perkembangan teknologi.

KPT turut memberi perhatian kepada pengurusan peruntukan secara berimpak tinggi dengan memastikan setiap dana yang disalurkan dapat dimanfaatkan secara optimum serta menghasilkan pulangan yang memberi manfaat kepada sektor pendidikan tinggi dan negara.

-Advertisement-

Selain itu, kerjasama rentas kementerian dan agensi kerajaan dilihat penting dalam membentuk pendekatan belanjawan yang lebih menyeluruh, inklusif dan sejajar dengan keperluan pembangunan ekonomi negara.

Sesi berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim; TKSU (Pengurusan & Pembangunan), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah JPPKK, YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah; Setiausaha Bahagian Kewangan KPT, Encik Hasan bin Muda, serta pegawai kanan dan pasukan Belanjawan 2027 daripada kedua-dua kementerian.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan KPT dan MoF untuk memastikan perancangan Belanjawan 2027 dapat memperkukuh daya saing pendidikan tinggi, meningkatkan kesejahteraan pelajar serta menyokong pembangunan ekonomi negara secara mampan – The Capital Post