PUTRAJAYA 26 OGOS 2026 (The Capital Post) – Akademi Perundangan Negara (APN) memperkukuh kompetensi pegawai undang-undangnya menerusi pelaksanaan Training of Trainers: Bengkel Penggubalan dan Pentadbiran Kontrak Kerajaan – Amalan Terbaik dan Isu Perundangan yang berlangsung dari 19 hingga 21 Ogos 2026 di Mercure Living Putrajaya.
Bengkel anjuran Program Pembangunan Kerjaya dan Pentadbiran, APN itu disertai 23 orang pegawai undang-undang yang berperanan sebagai tenaga pengajar dalam institusi berkenaan.
Pelaksanaan bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkasa kompetensi tenaga pengajar Institut Latihan Awam menerusi Program Inisiatif Pemerkasaan Kompetensi Tenaga Pengajar Institut Latihan Awam (IMPAK).
Program berkenaan memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran serta pengetahuan pegawai dalam aspek penggubalan dan pentadbiran kontrak kerajaan. Peserta turut didedahkan kepada kerangka perundangan, kewangan dan tadbir urus yang berkaitan dengan perancangan perolehan, pembentukan kontrak kerajaan serta penyediaan perjanjian.
-Advertisement-
Selain itu, bengkel tersebut turut membincangkan aspek pelaksanaan dan pentadbiran perolehan kerajaan bagi memastikan para pegawai mempunyai pemahaman yang lebih menyeluruh terhadap proses serta keperluan perundangan yang berkaitan.
Antara pihak yang terlibat sebagai penceramah ialah wakil Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan serta Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara (AGC), yang berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik berkaitan pengurusan kontrak kerajaan.
Penganjuran bengkel ini diharap dapat meningkatkan keupayaan profesional pegawai APN serta memperkukuh peranan mereka sebagai tenaga pengajar perundangan yang berkemahiran, berwibawa dan mampu menyampaikan ilmu secara berkesan kepada peserta latihan – The Capital Post