NICE 2026 Pacu Inovasi Tempatan Ke Pasaran Global

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 26 OGOS 2026 (The Capital Post) – National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026 membuka tirai hari ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), sekali gus memperkukuh usaha negara dalam mengembangkan ekosistem inovasi dan pengkomersialan ke peringkat lebih luas.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, hadir menyampaikan ucapan alu-aluan bagi mewakili Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.

Mengangkat tema “Misi Ke Pasaran. Malaysia ke Dunia”, ekspo yang berlangsung selama tiga hari itu menjadi platform strategik untuk menghubungkan hasil penyelidikan dan inovasi tempatan dengan peluang pasaran serta nilai ekonomi yang lebih besar.

NICE 2026 menghimpunkan pelbagai pemegang taruh termasuk inovator, pemain industri, pelabur dan pembuat dasar melalui pengisian seperti persidangan, pameran inovasi interaktif, sesi padanan perniagaan serta penganjuran Anugerah Malaysia Commercialisation Year (MCY) dan Anugerah MySTI.

-Advertisement-

Dalam ucapan pembukaannya, YBrs. Puan Norsham menekankan bahawa kejayaan ekspo tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan jumlah perjanjian yang berjaya dimeterai. Sebaliknya, impak sebenar perlu dilihat melalui sejauh mana kerjasama yang terbentuk dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek, penerimagunaan teknologi serta penciptaan peluang ekonomi yang berdaya tahan.

Beliau turut meluangkan masa meninjau reruai pameran NICE 2026 bagi melihat sendiri pelbagai hasil inovasi dan teknologi tempatan yang mempunyai potensi untuk dikomersialkan serta diperluaskan ke pasaran.

Penganjuran NICE 2026 dilihat sebagai pemangkin kepada usaha menghubungkan inovasi dengan keperluan pasaran, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada teknologi dan hasil penyelidikan Malaysia untuk berkembang serta bersaing di pentas antarabangsa – The Capital Post