Aaron-Wooi Yik perlu kuat mental, bijak

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu lebih kental agar tidak mudah terperangkap dengan corak permainan pihak lawan.

-Advertisement-

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata sebagai pasangan nombor lima dunia, mereka tidak seharusnya mudah diganggu dengan perubahan taktikal lawan yang ditemui.

“Aaron-Wooi Yik perlu lebih kuat hati mereka dan lebih bijak.

“Mereka tidak boleh terlalu mudah diganggu dalam perubahan permainan lawan,” kata Rexy mengulas mengenai prestasi pasangan itu dalam dua kejohanan terakhir mereka – Terbuka Korea dan Terbuka Jepun.

Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia masih gagal dalam misi memburu kejuaraan pertama dalam saingan Jelajah Dunia dengan terbaru kecundang di pusingan kedua Terbuka Korea dan suku akhir Terbuka Jepun.

Mereka akan meneruskan pemburuan gelaran sulung apabila beraksi di Terbuka Australia yang bermula esok.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan akan memulakan cabaran menentang pasangan yang layak daripada pusingan kelayakan.

-Advertisement-

Dalam pada itu, Rexy yang turut mengulas mengenai prestasi satu lagi pasangan negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei, berkata gandingan itu masih memerlukan masa untuk kembali mencapai kemuncak prestasi mereka sejak kembali digandingkan selepas lima bulan berpisah.

Katanya, kedua-dua pemain menunjukkan perkembangan positif berdasarkan aksi dalam tiga kejohanan awal apabila muncul juara Terbuka Amerika Syarikat dan mara ke suku akhir Terbuka Korea sebelum terkandas di pusingan kedua Terbuka Jepun.

“Saya tengok Izzuddin-Sze Fei bermain cukup baik dan menunjukkan peningkatan prestasi yang positif. Cuma, mereka perlu sedikit masa untuk menjadi lebih baik lagi sejak kembali digandingkan,” kata Rexy.

Izzuddin-Sze Fei turut akan beraksi di Terbuka Australia dan mereka akan membuka tirai saingan menentang pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373