Anwar harap Ramasamy terus beri sumbangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai, Dr P Ramasamy dapat terus menyumbang peranan yang positif membantu kerajaan melaksanakan pendekatan madani.

-Advertisement-

Perdana Menteri berkata, beliau percaya tindakan terbaharu bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu berkaitan masalah dalaman parti.

Namun, katanya beliau faham dan maklum dengan tindakan Ramasamy yang juga sahabatnya itu.

“Ramasamy sahabat saya dan tentu (dia) dapatkan pandangan terlebih dulu dan saya faham keadaan itu, …yang ada masalah khusus dalam parti.

“Saya harap beliau dapat mainkan peranan positif dalam membantu kerajaan meneruskan pendekatan madani.” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik hari ini.

Pagi ini, Ramasamy mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam DAP dan mengumumkan keluar daripada parti itu.

Beliau yang digugurkan daripada menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang sudah mengutus surat bagi tujuan berkenaan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Pengerusi DAP, Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

-Advertisement-

Ramasamy dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II sejak 2008 hingga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dibubarkan baru-baru ini.

Ramasamy yang dilihat sesetengah pihak sebagai ‘liabiliti’ kepada DAP kerana ‘sikap berterus-terangnya’ adalah antara lima bekas ahli EXCO yang tidak dicalonkan pada PRN.

Yang lain ialah Ketua Wanita DAP, Chong Eng, Phee Boon, Yeoh Soon Hin dan Soon Lip Chee.

Turut digugurkan ialah bekas ADUN Bagan Dalam, M Satees dan bekas ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit. Chun Kit tidak bertanding atas alasan kesihatan.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373