BN berdepan tugas berat pertahan DUN Gual Ipoh

Estimate Reading Time: 3 minutes

TANAH MERAH: Makan nasi bersama ulam dicicah budu antara hidangan wajib masyarakat India di Gual Ipoh, kira-kira 25 kilometer dari pekan Tanah Merah di Kelantan.

-Advertisement-

Cara hidup masyarakat Melayu Kelantan seakan sebati bagi lebih 350 pengundi komuniti India yang rata-rata tinggal di Ladang Kerilla di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Maka tidak hairanlah temubual dengan masyarakat India di kampung itu menggunakan bahasa Kelantan, malah sebahagian warga tua mampu ‘kecek Kelate’ lebih pekat dari generasi muda Kelantan sendiri.

Durakannu Moteain, 71, yang juga anak kelahiran Ladang Kerilla mengakui walaupun mereka keluarga India, namun kehidupannya sudah sebati dengan budaya orang Melayu kerana bergaul sejak kecil.

“Saya suka budaya Melayu, bila dijemput ke kenduri mereka, saya suka dan pastikan akan pergi. Saya juga suka budu, suka sambal belacan yang orang Melayu buat dan juga boleh bercakap dialek Kelantan.

“Anak-anak saya pun sama. Walaupun kampung berada di pedalaman jauh dari bandar namun saya gembira tinggal di sini. Cuma saya mengharapkan sesiapa sahaja yang menang pada PRN, boleh membawa kemudahan kepada penduduk di sini.

“Namun tidak dinafikan aura Datuk Seri Ikmal sangat kuat di sini kerana dia sangat menjaga penduduk dan sentiasa menghantar bantuan kepada penduduk di sini,” katanya.

Penghulu Ladang Kerilla, P Vasu, 37, pula berkata seramai 60 keluarga dari kaum India membabitkan lebih 200 individu masih menetap di ladang berkenaan dengan hampir kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah.

Katanya yang turut berharap mana-mana calon yang menang di Gual Ipoh nanti membaik pulih jalan untuk masuk ke perkampungan mereka.

“Apa yang kami minta bukan untuk kaum India sahaja sebaliknya untuk semua penduduk termasuk orang Melayu,” katanya yang akan mengundi di SMK Kerilla Sabtu ini.

Mereka antara pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab di N27 DUN Gual Ipoh pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos nanti.

DUN Gual Ipoh mempunyai seramai 25,715 pengundi dengan pengundi India merekodkan paling ramai berbanding DUN lain di Kelantan.

PRN menyaksikan DUN Gual Ipoh berlaku pertembungan satu lawan satu antara Bahari Mohd Nor merangkap Ketua Bahagian BERSATU Tanah Merah mewakili PAS dan Zuhairi Zakaria yang juga Ketua Pemuda UMNO Tanah Merah mewakili Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Umun ke-14 (PRU14), kerusi berkenaan dimenangi Mohd Bakri Mustpha dari BN dengan mengalahkan Wan Yusoff Wan Mustafa daripada PAS dan Mohd Soba Hussin daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 1,415 undi.

Mohd Bakri sudah menyandang kerusi berkenaan selama dua penggal dan kerusi berkenaan juga belum layak dilabel sebagai kubu kuat BN.

Ini kerana berdasarkan rekod DUN berkenaan, persaingan kerusi DUN berkenaan agak sengit dengan pimpinan parti di DUN terbabit bersilih ganti setiap dua penggal.

-Advertisement-

Sekiranya teori itu terpakai sehingga tahun ini, ini bermakna BN ‘dalam bahaya’ kerana peluang kerusi berkenaan dirampas semula oleh PAS yang meletakkan calon daripada BERSATU itu juga adalah tinggi berdasarkan aura Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Lebih-lebih lagi pada PRU14, Ikmal Hisham mempertahankan Parlimen Tanah Merah dengan majoriti 44,485 iaitu paling tinggi di Kelantan selain DUN Gual Ipoh juga mencatatkan majoriti lebih 8,000 undi.

Justeru, ia menjadi tugas berat kepada BN lebih-lebih lagi calon yang ditampilkan adalah calon muda yang baru berusia 32 tahun, manakala calon BERSATU pula mempunyai kelebihan dengan bersandarkan Ikmal selain pernah bertanding di DUN Kemahang pada PRU14.

Mengulas pencalonannya di DUN Gual Ipoh, Zuhairi mengakui tugasnya amat berat kerana dia perlu memastikan kerusi berkenaan milik BN.

“Saya adalah anak jati Gual Ipoh dan walaupun saya baru berusia 32 tahun, namun saya sudah mengikut bapa yang turut menceburi politik sejak berusia belasan tahun lagi.

“Malah, penerimaan penduduk dan pengundi juga cukup positif dan kebanyakan mereka sudah mengenali saya menyebabkan proses berkempen tidaklah begitu sukar.

“Insya-Allah saya percaya pengundi DUN Gual Ipoh akan terus memberi kemenangan kepada BN terutama pengundi muda yang terdiri daripada 64 peratus,” katanya.

Beliau berkata, faktor usia yang muda juga tidak menghalang beliau berdepan dengan masyarakat dan proses kempen dilakukan di seluruh kawasan DUN termasuk membabitkan komuniti India di Kampung Kerilla.

Bahari pula menyifatkan kemenangan besar Parlimen Tanah Merah pada PRU15 lalu memberi kelebihan kepada beliau untuk merampas kerusi milik BN.

“Saya lebih berpengalaman dengan usia 55 tahun berbanding calon dari parti lawan baru berusia 32 tahun.

“Insya-Allah aura Datuk Seri Ikmal sangat kuat di seluruh Tanah Merah dan saya yakin dapat memenangi kerusi DUN Gual Ipoh. Malah, saya juga sudah dimaklumkan lebih awal oleh pihak parti untuk bertanding di DUN ini.

“Jadi saya sudah membuat persiapan awal dan sambutan daripada pengundi juga sangat positif setakat ini,” katanya.

Sementara itu, Ikmal Hisham yakin ketiga-tiga kerusi DUN berkenaan akan dimenangi PN.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373