JOHOR BAHRU, 24 Jun 2026 (The Capital Post) – MIC Johor tampil dengan pembaharuan ketara apabila memperkenalkan tiga muka baharu daripada empat kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengumuman senarai calon tersebut dibuat hari ini oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi, dalam majlis pengumuman rasmi calon-calon BN.
Daripada empat kerusi yang diperuntukkan kepada MIC, hanya Pengerusi MIC Johor merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, YB Raven Kumar, merupakan calon yang mempunyai pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Beliau akan bertanding di kerusi N.04 Kemelah.
Senarai calon MIC bagi PRN Johor adalah seperti berikut:
• N.04 Kemelah – YB Raven Kumar, Pengerusi MIC Johor, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan bekas Adun Dun Tenggaroh.
• N.31 Kahang – En. Rugendran Vellayan, Timbalan Ketua Pemuda MIC Johor.
• N.46 Perling – En. Pannir Selvam, Pengerusi MIC Bahagian Pulai.
• N.51 Bukit Batu – En. Kumaran Ramakrishanan, Setiausaha MIC Johor dan Pengerusi MIC Bahagian Parit Sulong.
-Advertisement-
Perubahan terbesar menyaksikan kerusi Kahang yang sekian lama menjadi kubu MIC bakal menyaksikan pertukaran generasi apabila penyandangnya, YB Vidyananthan Ramanadhan, tidak lagi dicalonkan. Vidyananthan telah mewakili kawasan itu sejak tahun 2008 dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor sehingga tahun 2022, selain pernah memegang jawatan Pengerusi MIC Johor.
Di Kemelah pula, YB Saraswati Nallathamby yang juga Ketua Wanita MIC Kebangsaan tidak dicalonkan oleh parti untuk kerusi tersebut. Tempat beliau digantikan oleh YB Raven Kumar yang sebelum ini merupakan ADUN Tenggaroh.
Sementara itu, kerusi N.46 Perling merupakan kerusi baharu yang diperuntukkan kepada MIC hasil pertukaran kerusi dengan Tenggaroh yang kini diserahkan kepada UMNO dalam pengagihan kerusi BN bagi pilihan raya kali ini.
Bagi kerusi N.51 Bukit Batu, MIC mengekalkan tumpuan terhadap kawasan tersebut selepas calon parti, S. Suppayah, tewas tipis kepada calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022 dengan majoriti hanya 137 undi.
Dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2022, MIC bertanding atas tiket Barisan Nasional di beberapa kerusi utama termasuk Kemelah, Kahang, Tenggaroh dan Bukit Batu. Susunan calon baharu kali ini dilihat sebagai langkah parti untuk menggabungkan pengalaman dan kepimpinan generasi baharu dalam usaha memperkukuhkan kedudukan BN di negeri itu.
Pencalonan Rugendran, Pannir Selvam dan Kumaran Ramakrishanan turut mencerminkan usaha MIC untuk memberi peluang kepada barisan pelapis parti memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam landskap politik Johor menjelang pilihan raya akan datang. – The Capital Post.