Bursa Malaysia bermula rendah hari ini

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 21 Okt 2022 (The Capital Post): Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pada Jumaat, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang lemah.

-Advertisement-

Pada 9.18 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.57 mata kepada 1,435.15 daripada 1,437.72 pada akhir sesi semalam.

Indeks petunjuk utama itu dibuka 2.33 mata lebih rendah kepada 1,435.39.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 164 berbanding 156 manakala 926 kaunter lain tidak berubah, 1,116 tidak diniagakan dan 19 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.92 bilion unit bernilai RM2.68 bilion.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berpendapat bursa tempatan berkemungkinan besar menyaksikan dagangan yang mendatar berikutan tekanan global dan tempatan, termasuk kemelut politik di United Kingdom berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri, Liz Truss.

Malah, ini dijejaskan lagi dengan pendirian Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang masih berpegang kepada kenaikan kadar faedah dalam usaha membendung inflasi di negara itu.

“Di peringkat tempatan, pelabur juga menunggu keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan mungkin menyaksikan mereka memilih kaunter-kaunter berkaitan politik.

“Pada masa sama, kemungkinan China mengurangkan kuarantin dalam negara pula dilihat memberi manfaat kepada industri penerbangan,” katanya dalam nota tinjauan hari ini.

-Advertisement-

Selain itu, firma pembrokeran itu juga menjangkakan sektor teknologi akan berdepan aktiviti pengambilan untung susulan penyusutan di pasaran Nasdaq AS.

Saham wajaran tinggi seperti CIMB menokok satu sen kepada RM5.51, MISC meningkat tujuh sen kepada RM7.13, Maybank dan TNB masing-masing tidak berubah pada RM8.60 dan RM8.23 manakala Public Bank dan Petronas Chemicals susut lima sen kepada RM4.39 dan RM8.85.

Bagi saham aktif, Careplus dan Eduspec masing-masing naik setengah sen kepada 44.5 sen dan 2.0 sen, Top Glove tidak berubah pada 73.5 sen manakala Serba Dinamik dan Borneo Oil susut setengah sen kepada 2.5 sen dan 2.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 7.28 mata kepada 10,162.52, FBM 70 meningkat 35.06 mata kepada 12,028.09, Indeks FBMT 100 susut 6.95 mata kepada 9,910.52, Indeks FBM Emas Shariah menokok 0.38 mata kepada 10,164.09 dan FBM ACE turun 5.82 mata kepada 4,777.30.

Bagi sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 36.91 mata kepada 16,349.96, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.10 mata kepada 174.49, Indeks Perladangan merosot 44.0 mata kepada 6,795.65 manakala Indeks Tenaga susut 3.87 mata kepada 679.41.

-BERNAMA -BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279