Bursa Malaysia dibuka tidak menentu

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat seketika sebelum susut kemudiannya pada sesi dagangan awal Jumaat ketika pelabur kekal berhati-hati dalam sentimen bercampur-campur yang ketara di pasaran serantau, kata penganalisis.

-Advertisement-

Pada 9.13 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.28 mata kepada 1,525.45 daripada 1,525.73 pada akhir dagangan semalam selepas dibuka menokok 0.57 mata kepada 1,526.30.

Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 202 berbanding 170 manakala 216 kaunter lain tidak berubah, 1,618 tidak diniagakan dan 23 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 243.9 juta unit bernilai RM135.1 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan pasaran saham serantau kekal tidak menentu susulan satu lagi pusingan jualan di Wall Street yang didahului oleh saham Meta berikutan pendapatannya yang lemah dengan kesan tersebut boleh turut melimpah ke pasaran tempatan.

“Pelabur berkemungkinan besar beralih kepada pendirian menolak risiko di masa terdekat ini untuk menumpukan kaunter saham perbankan dan pengguna dengan asas yang lebih kukuh,” katanya.

Di pasaran serantau menyaksikan Indeks Straits Times Singapura naik 0.08 peratus kepada 3,318.14, Indeks Hang Seng Hong Kong menokok 2.48 peratus kepada 24,392.86 manakala Nikkei 225 Jepun berkurangan 0.04 peratus kepada 27,230.77.

-Advertisement-

Saham wajaran tinggi Maybank turun satu sen kepada RM8.31, Public Bank tidak berubah pada RM4.23, Press Metal naik tujuh sen kepada RM6.17 dan Petronas Chemical susut tiga sen kepada RM8.87.

Bagi saham aktif, Dagang NeXchange menambah tiga sen kepada RM1.01, AHB tidak berubah pada 14 sen dan Bumi Armada naik 1.5 sen kepada 56.5 sen.

Di papan indeks, FBM ACE meningkat 4.85 mata kepada 6,130.77, Indeks FBM Emas menambah 4.84 mata kepada 10,968.35.25, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 2.71 mata kepada 11,668.46 manakala FBM 70 susut 17.30 mata kepada 13,451.29 dan Indeks FBMT 100 kehilangan 0.66 mata kepada 10,656.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 2.1 mata kepada 15,802.05, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.1 mata pada 201.81 manakala Indeks Perladangan turun 10.96 mata kepada 6,564.59.

– Bernama -BH