Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum merosot

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 11 Jan 2023 (The Capital Post): Bursa Malaysia dibuka tinggi namun kemudiannya merosot, mengambil petunjuk daripada prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur di tengah-tengah prestasi semalaman di Wall Street yang bertambah baik, menurut peniaga.

-Advertisement-

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FBM KLCI susut 0.48 peratus kepada 1,484.65 berbanding 1,485.13 sewaktu ditutup semalam.

Saham pandu pasaran dibuka meningkat 1.91 mata kepada 1,487.04.

Bagaimanapun, di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 175 kepada 113, manakala 244 kaunter tidak berubah, 1,669 tidak diniagakan dan 10 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 213.46 juta unit bernilai RM62.95 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata sentimen di bursa tempatan masih rapuh berikutan pelabur tidak memasuki pasaran sementara menunggu pemangkin yang lebih kukuh.

“Oleh itu, kami berpendapat indeks itu akan berada dalam jajaran kecil antara 1,485 dan 1,495 hari ini berikutan kami mendapati bahawa paras 1,500 kekal sebagai paras rintangan psikologi yang teguh,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, beliau yakin bahawa minat terhadap saham telekomunikasi dan media mungkin berlaku berikutan sektor itu kurang memberangsangkan di pasaran meluas setakat ini pada 2023.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank, Petronas Chemicals dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM8.79, RM4.30, RM8.30 dan RM5.72 manakala Tenaga Nasional menguncup lima sen kepada RM9.48.

-Advertisement-

Bagi saham aktif, Dagang Nexchange menambah lima sen kepada 55.5 sen, Tanco Holdings dan L&P Global masing-masing menokok setengah sen kepada 39 sen dan 58.5 sen, Ancom Logistics naik satu sen kepada 15 sen, manakala Berjaya Corporation tidak berubah pada 35 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 7.08 mata kepada 10,699.68, Indeks FBMT 100 mengukuh 5.53 mata kepada 10,401.15 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 12.51 mata kepada 10,905.85.

Indeks FBM 70 meningkat 45.33 mata kepada 13,239.17 dan Indeks FBM ACE meraih 19.02 mata kepada 5,395.85.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 1.43 mata kepada 16,481.77 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.17 mata kepada 182.62.

Indeks Perladangan menambah 17.07 mata kepada 6,941.47 dan Indeks Tenaga meraih 1.01 mata kepada 797.07.

-BERNAMA -BH

(The Capital Post)