Bursa Malaysia kembali melonjak

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengekalkan aliran menaik pada sesi pembukaan urus niaga pagi ini, mengambil petunjuk daripada pergerakan rancak semalaman Wall Street selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan satu lagi kenaikan kadar faedah, kata seorang penganalisis.

-Advertisement-

Pada hari Rabu, bank pusat itu telah menaikkan kadar faedah utamanya sebanyak 75 mata asas seperti yang dijangkakan, kadar tertinggi sejak 2018.

Pada jam 9.20 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 10.95 mata kepada 1,481.66 daripada 1,470.71 semalam (Rabu).

Indeks utama itu dibuka pada 1,472.39, naik sebanyak 1.68 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 347 berbalas 101, manakala 229 kaunter tidak berubah, 1,621 tidak diniagakan dan 66 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 359.74 juta unit bernilai RM157.65 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya, momentum positif di Wall Street dijangka mempengaruhi pasaran saham utama dan turut memanfaatkan bursa serantau dan tempatan.

“Justeru, bursa tempatan diunjurkan bergerak dalam nada positif hari ini berikutan kenaikan kukuh di Wall Street.

“Kami percaya lantunan semula baru-baru akan berterusan memandangkan komen daripada pengerusi Fed AS Jerome Powell telah sedikit sebanyak meredakan kebimbangan pelabur terhadap prospek kenaikan kadar faedah pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, bagi komoditi, ia turut menyatakan minyak mentah Brent meningkat melebihi paras AS$106 setong, manakala minyak sawit mentah (MSM) diniagakan melepasi paras RM3,850 satu tan.

-Advertisement-

Sektor tenaga juga dijangka menjadi tumpuan susulan kenaikan harga MSM, tambahnya.

Selain itu, firma pembrokeran itu mengunjurkan sektor teknologi akan mendapat rangsangan selepas Nasdaq mencatatkan keuntungan peratusan harian terbesarnya sejak April 2020, melonjak lebih empat peratus semalam.

Di bursa tempatan, dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa – Maybank menokok satu sen kepada RM8.81, Public Bank dan Petronas Chemicals meningkat lapan sen, masing-masing mencatatkan RM4.68 dan RM8.72, IHH Healthcare menambah lima sen kepada RM6.42 dan CIMB Group meraih dua sen kepada RM5.24.

Bagi saham aktif, Bintai Kinden dan Techna-X naik setengah sen setiap satu kepada 12.5 sen dan 4.5 sen, Dagang NeXchange lebih tinggi satu sen menjadi 79.5 sen, Metronic Global menokok dua sen kepada 15 sen dan SFP Tech Holdings menambah lima sen untuk merekodkan 72.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas peroleh 83.17 mata menjadi 10,513.15, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 78.20 mata kepada 10,573.11 dan Indeks FBMT 100 mengukuh 82.28 mata kepada 10,267.61.

FBM ACE turut mengembang 55.40 mata menjadi 4,834.60 manakala FBM 70 mencatatkan 2,605.12.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan mengukuh 19.75 mata kepada 6,866.05, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 136.52 mata menjadi 16,692.54, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.46 mata kepada 180.00, dan Indeks Tenaga meningkat 9.53 mata kepada 654.73.

– Bernama -BH