COVID-19 ragut 10 lagi nyawa, 4,503 jangkitan baharu

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Malaysia mencatat 4,503 jangkitan baharu COVID-19, semalam, dengan 10 lagi kematian akibat wabak itu di empat negeri.

-Advertisement-

Perkembangan itu menjadikan penularan COVID-19 di Malaysia kini mencecah jumlah keseluruhan 4,664,213 kes, selain telah meragut 35,942 nyawa, setakat tengah malam tadi.

Berdasarkan data dalam laman sesawang COVIDNOW, sebanyak 4,497 jangkitan baharu adalah penularan tempatan, manakala enam lagi kes import.

Korban baharu pula meliputi empat kematian di luar fasiliti kesihatan (BID). Daripada jumlah itu, lima kematian dilaporkan di Perak termasuk empat kes BID, Selangor (tiga) dan masing-masing satu di Pahang serta Pulau Pinang.

Dalam pada itu, sebanyak 3,847 kes sembuh dilaporkan, semalam, di samping 46,906 kes aktif ketika ini.

Ia merangkumi 45,318 kes menjalani isolasi di rumah, 1,505 dirawat di hospital, serta 24 ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

-Advertisement-

Selain itu, 59 pesakit COVID-19 dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 30 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ketika ini, kadar penggunaan katil ICU negara adalah 62 peratus, termasuk kes bukan COVID-19, dengan Kedah merekodkan kadar tertinggi pada 82.9 peratus.

Ia diikuti penggunaan ICU sebanyak 77.4 peratus di Selangor; Kelantan (72.8); Labuan (71.4 peratus); Putrajaya (70.0 peratus); Kuala Lumpur (69.6 peratus); Johor (66.1 peratus); Melaka (65.9 peratus); Sabah (63.8 peratus); Negeri Sembilan (63.3 peratus); Perak (54.5 peratus); dan Sarawak (53.6 peratus).

Empat negeri mencatat kadar penggunaan katil ICU bawah 50 peratus, iaitu Pulau Pinang (47.5 peratus); Terengganu (45.2 peratus); Perlis (42.1 peratus); dan Pahang (34.2 peratus).

-BH