HANOI: Pasukan pencari di Vietnam menyelamatkan dua juruterbang yang terjun dari pesawat tentera dengan payung terjun, sebelum pesawat itu terhempas di kawasan tanah tinggi di tengah negara itu ketika cuaca buruk, lapor media tempatan pada Khamis.
Laporan berkata, pesawat Yak-130 buatan Russia itu terhempas ketika penerbangan latihan di hutan tebal di daerah Ia Pa di wilayah Gia Lai pada pagi Rabu.
Juruterbang berdepan masalah menggunakan gear pendaratan pesawat, memaksa mereka untuk terjun dari pesawat itu.
Mereka ditemui 10 jam selepas nahas apabila berjaya menghubungi pihak berkuasa melalui telefon bimbit dan memberitahu lokasi mereka.
Timbalan ketua kakitangan am Tentera Rakyat Vietnam, Pham Truong Son, memberitahu media kerajaan, serpihan pesawat itu juga ditemui tetapi hujan lebat dan angin kencang menghalang usaha untuk mencapai ke lokasi.
“Usaha membawa keluar pesawat lima tan dari hutan memerlukan peralatan khusus dan perancangan rapi, jadi ia akan mengambil sedikit masa,” katanya.
Walaupun sektor penerbangan awam Vietnam mempunyai rekod keselamatan yang kukuh, kemalangan membabitkan pesawat tentera lebih kerap berlaku.
Pada 2023, seorang juruterbang terbunuh selepas pesawat pejuang tentera Sukhoi SU-22 buatan Russia terhempas di utara Vietnam ketika sesi latihan.
Dalam salah satu kemalangan tentera terburuk di negara itu, 19 terkorban selepas helikopter Mi-171 buatan Russia terhempas di ibu negara Hanoi ketika latihan pada 2014.
-AFP
-BeritaHarian