Ekonomi Digital Islam bidang pertumbuhan baharu negara

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Ekonomi Digital Islam (IDE) berpotensi menjadi pemacu utama membangunkan industri dan bidang pertumbuhan baharu di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

-Advertisement-

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata IDE mempunyai potensi yang besar dari segi nilainya dan Malaysia mampu untuk menjadi jaguh dalam industri ini.

Beliau berkata, ini berdasarkan kepada kedudukan negara sebagai peneraju Ekonomi Digital dan Ekonomi Islam selama ini.

Katanya, terdapat tiga potensi dalam industi IDE iaitu teknologi kewangan, gaya hidup dan halal, justeru pembabitan bersama usahawan sangat digalakkan bagi membolehkan industri IDE dapat dikembangkan.

“Malaysia ketika ini menjadi peneraju utama dalam ekonomi Islam dalam pelbagai bidang. Malah, kerajaan juga ingin melaksanakan pelbagai langkah bagi membolehkan negara terus menjadi teraju utama dalam ekonomi Islam.

“IDE berpotensi menjadi antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kelak,” katanya selepas melancarkan Persidangan Industri Ekonomi Digital Islam 2023 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, inisiatif IDE juga bakal menjadi pelengkap kepada Ekonomi MADANI yang bekerjasama menggalakkan pembangunan ekonomi digital di Malaysia.

Beliau berkata, IDE berdiri sebagai mercu tanda keterangkuman, merangkumi Malaysia MADANI sebagai visi untuk sebuah masyarakat yang saksama yang menyeru kepada pengagihan kekayaan dan sumber yang lebih adil.

Katanya, kepentingan IDE tidak boleh dilemahkan kerana ia bukan sahaja menggunakan potensi ditawarkan teknologi itu, tetapi turut memasukkan prinsip-prinsip Islam.

“Sejajar dengan langkah itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memperkenalkan Malaysia Digital Tasree (MD Tasree) untuk menerajui pembabitan industri pengesahan idea dan mempromosikan projek perintis yang akan membawa ke arah skala dan pengkomersilan berkaitan penyelesaian teknologi IDE,” katanya.

-Advertisement-

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, berkata IDE juga salah satu daripada sembilan bidang tumpuan utama di bawah insiatif strategik nasional, Malaysia Digital (MD) dalam membantu MDEC memastikan hala tuju yang tepat menerusi Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN).

Beliau berkata, Malaysia kekal sebagai peneraju Penunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) selama sembilan tahun berturut-turut, dipacu ekosistem halal yang pesat dalam sektor kewangan Islam, industri makanan-farmaseutikal-kosmetik halal, pelancongan mesra Muslim, media dan rekreasi.

“Sektor ekonomi Islam dijangka mencecah nilai global sebanyak AS$7.7 trilion menjelang 2025,” katanya.

Mahadhir berkata, MD Tasree turut diperkenalkan untuk menerajui pembabitan industri, penjanaan idea, mempromosi projek perintis, pengkomersialan penyelesaian teknologi dan menjadi saluran yang kukuh bagi agenda MD Pemangkin.

“Ketika ini, kita masih dalam peringkat rintis pembangunan IDE, tetapi nilai sumbangannya dijangka besar dan mampu menjadi sektor ekonomi tumpuan negara.

“Hai ini kerana, berdasarkan data Malaysia ketika ini berada di kedudukan pertama dalam pertumbuhan teknologi kewangan Islam dengan unjuran sebanyak AS$8.5 bilion menjelang 2025.

“Dengan IDE, nilai ini dijangka lebih besar kerana ia mempunyai lebih banyak elemen dalam ekonomi Islam,” katanya.

– BH