Aplikasi MYJalan dibuka untuk aduan kerosakan jalan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Orang ramai kini boleh membuat sebarang aduan berkenaan kerosakan jalan raya menerusi aplikasi MYJalan iaitu platform aduan setempat bagi memudahkan aduan dibuat.

-Advertisement-

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata aplikasi itu boleh digunakan sejak minggu lalu untuk menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya dan kemudahan lain termasuk lampu jalan dan lampu isyarat dapat dibaik pulih.

“Aplikasi MYJalan akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis ini, namun ia sudah boleh digunakan sejak minggu lalu lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) 2023 di Menara MATRADE di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden BEM, Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool.

MYJalan menerima semua jenis aduan jalan raya yang diselenggara Kementerian Kerja Raya (KKR) selaras prinsip ‘No Wrong Door Policy’ atau dasar menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya, lampu jalan dan lampu isyarat dapat dibaik pulih.

Aplikasi dan Kempen MYJalan yang sedang berlangsung sempena bulan kebangsaan itu dijangka dilancarkan Perdana Menteri di Jeti Tasik Awam, Tasik Banding, Perak.

Ditanya berapa banyak aduan diterima sejak aplikasi itu digunakan, beliau berkata, setakat ini pihaknya masih belum mendapat maklumat lanjut berkenaan perkara itu.

Mengulas laporan tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lalu pula, beliau berkata, laporan yang sudah siap itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri tidak lama lagi.

Katanya, laporan itu sepatutnya sudah dibentangkan tetapi ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang turut membabitkan Selangor.

“Laporan ini mengambil sedikit masa untuk dibentangkan tetapi ia dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat,” katanya.

-Advertisement-

Nanta sebelum ini dilaporkan berkata, laporan tragedi yang berlaku pada 16 Disember tahun lalu kira-kira jam 2.30 pagi, dijangka diperoleh pada akhir Jun lalu sebelum ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi membolehkan semua pihak terbabit mengambil tindakan selanjutnya.

Tragedi itu membabitkan 92 mangsa dengan 31 terkorban, manakala 61 terselamat, ketika semua mangsa berada di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Jalan Genting, Batang Kali Selangor.

Sementara itu, berucap pada Konvensyen BEM 2023, Nanta berkata, banyak syarikat di negara ini khususnya syarikat tersenarai sudah memulakan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Saya berharap lebih banyak syarikat tempatan mengambil perhatian terhadap inisiatif penting ini yang mungkin menjadi keperluan untuk perusahaan pada masa depan.

“Selain itu, jurutera sebagai pelopor pembangunan juga harus memainkan peranan penting dalam usaha ini bagi menyampaikan perkhidmatan profesional kejuruteraan mereka,” katanya.

Beliau berkata, ESG adalah satu lagi gerakan global untuk mempertingkatkan konsep Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Malah, katanya, ESG berkongsi objektif yang sama seperti SDG berkenaan kelestarian alam sekitar khususnya isu perubahan iklim yang kesannya dirasai secara global.

“Kejadian banjir yang berskala luar biasa di negara kita baru-baru ini memberikan kesedaran dan perhatian yang lebih kepada pihak berkepentingan utama termasuk orang ramai dan kerajaan,” katanya.

– BH