Elak terlebih makan ketika sambutan Aidilfitri – Pakar diet

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bersempena Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, pakar diet menyarankan supaya mengelak makan secara berlebihan kerana ia mengundang kesan buruk pada kesihatan dan tubuh badan.

-Advertisement-

Pengurus Kanan Dietetik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Celeste Lau, berkata tabiat terlebih makan, khususnya selepas sebulan berpuasa, akan menyebabkan berat badan seseorang naik secara mendadak selain mendedahkan mereka kepada risiko diserang penyakit lain.

“Tidak mustahil jika berat badan seseorang individu naik sebanyak tiga kilogram dalam tempoh sebulan jika mereka menghadiri banyak aktiviti sosial seperti rumah terbuka disebabkan pengambilan banyak sajian utama atau makanan berat termasuk pelbagai kudapan dan minuman manis.

“Mereka juga terdedah kepada risiko diserang penyakit jantung atau mati mengejut jika terlebih makan dan minum, makan tidak terkawal, kurang rehat dan tak cukup tidur. Walaupun risiko itu rendah atau jarang, ia mungkin berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Lau berkata adalah penting bagi individu yang mempunyai penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes, kolesterol tinggi dan penyakit buah pinggang kronik, untuk mengawal pengambilan makanan dan menjaga gaya hidup semasa musim perayaan.

“Walaupun sambutan perayaan hanya sekali sekala, sekiranya diet dan gaya hidup tidak terjaga, ia mungkin akan mengganggu atau mensia-siakan usaha kawalan penyakit yang dilakukan sebelum ini.

“Bagi mereka yang tidak berpenyakit pula, sekiranya tidak menjaga pemakanan, minuman, kurang rehat dan tidur serta kurang bersenam, masalah kesihatan yang biasa dialami semasa musim perayaan ialah berat badan meningkat, masalah gastrousus seperti perut kembung, sembelit, sakit kepala, keracunan makanan, demam panas atau jangkitan kuman,” katanya.

Justeru, beliau menasihati setiap individu supaya mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat kerana membuat keputusan dan pilihan wajar mampu menjamin kesejahteraan serta kesihatan badan untuk jangka masa panjang.

-Advertisement-

Lau berkata orang ramai juga perlu mengawal dan mengurangkan pengambilan makanan dan minuman yang mempunyai kandungan gula tinggi kerana kebanyakan hidangan yang disajikan dalam tempoh perayaan adalah manis, selain mengamalkan konsep suku-suku separuh.

“Kurangkan makanan seperti biskut, kek, coklat, gula-gula serta minuman manis, lebihkan pengambilan makanan segar serta asli dan banyakkan minum air kosong.

“Apa yang penting ialah pastikan makanan yang diambil adalah seimbang, sederhana dan pelbagai, seperti konsep suku-suku separuh atau Pinggan Sihat Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan supaya makanan yang dipilih adalah seimbang mengikut kuantiti sewajarnya,” jelas beliau.

Lau berkata Aidilfitri dirai dengan penuh ceria dan gembira, oleh itu, adalah penting untuk mengamalkan gaya pemakanan dan hidup yang sihat supaya tidak menjejaskan kesihatan semasa dan selepas sambutan perayaan, bukan hanya terhadap diri sendiri malah orang lain juga.

“Selain mendisiplinkan diri untuk mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat, kita juga boleh menggalakkan atau sediakan makanan dan minuman sihat atau seimbang kepada tetamu yang datang.

“Makan berdasarkan keperluan dan jangan terlalu mengikut nafsu, sentiasa ingat bahawa seimbang, sederhana dan pelbagai ialah kunci utama kepada kesihatan jangka masa panjang,” katanya.

-BeritaHarian