ALOR SETAR, 9 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerima kunjungan hormat daripada Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM), dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi.
Kunjungan yang berlangsung pada 8 September 2026 di Bilik Mesyuarat Bunga Tanjung, Tingkat 4, Bangunan FAMA Point itu diadakan bersama Ketua Pengarah FAMA, Faisal Iswardi bin Ismail.
Pertemuan berkenaan menjadi platform bagi FAMA dan UUM bertukar pandangan serta membincangkan potensi kerjasama dalam bidang ekonomi, kewangan, perbankan dan pembangunan sektor agromakanan negara.
Delegasi UUM diketuai Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Prof. Madya Dr. Rasidah binti Mohd Rashid, bersama Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Dr. Diara binti Md. Jadi serta pensyarah, Dr. Siti Norliza binti Jumali.
-Advertisement-
Pertemuan tersebut turut disertai barisan pengurusan dan pegawai kanan FAMA yang berkongsi pandangan berkaitan pembangunan sektor agromakanan serta kepentingan penglibatan institusi pendidikan tinggi dalam memperkukuh ekosistem ilmu dan kepakaran.
Kerjasama antara FAMA dan UUM diharap dapat terus diperkasakan menerusi perkongsian ilmu, kepakaran serta peluang kolaborasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan sektor agromakanan negara. – The Capital Post