Guru, pelajar perlu jaga adab menuntut ilmu

Estimate Reading Time: < 1 minute

ALOR SETAR: Setiap muallim atau tenaga pengajar perlu menjaga adab dalam menyampaikan ilmu, termasuk menggunakan bahasa dan perkataan yang sesuai ketika majlis ilmu berlangsung.

-Advertisement-

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, berkata penggunaan bahasa kesat perlu dielak supaya penyampaian ilmu menjadi lebih berkesan.

“Sebagai seorang guru, memang tidak boleh menggunakan bahasa yang tidak elok kerana kita mempunyai adab dalam Islam, ia perlu dijaga dalam majlis ilmu.

“Kaedah penyampaian ilmu yang berkesan perlu dilihat melalui seluruh aspek, bermula dari segi cara penyampaian iaitu menggunakan bahasa yang sesuai serta penampilan tenaga pengajar itu sendiri,” katanya pada sidang media di Menara Zakat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai satu video tular di media sosial, yang memaparkan seorang pensyarah universiti memperlekeh pelajar B40 yang tidak mempunyai komputer riba ketika sesi kelas secara dalam talian.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata, pelajar juga mempunyai adab yang perlu dijaga ketika belajar bersama guru dan tindakan menularkan keaiban guru adalah sikap yang tidak baik.

-Advertisement-

Katanya, jika pelajar tidak berpuas hati dengan guru atau sebaliknya, maka perbincangan selepas majlis ilmu adalah perkara yang terbaik untuk dilakukan

“Dalam Islam, pelajar yang hendak bertanya soalan juga ada adabnya, tidak boleh sewenang-wenang terus tanya soalan kepada guru. Kita perlu mendapat keizinan terlebih dahulu, tanya pada masa yang sesuai serta soalan tidak bercanggah dengan apa dinyatakan guru.

“Jadi, adab itu juga perlu dijaga, apatah lagi hendak beritahu kepada orang ramai keaiban yang ada pada guru. Sikap yang tidak elok dan berlebihan dilarang dalam adab menuntut ilmu, seeloknya berbincang,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279