SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah individu yang telah melengkapkan suntikan dua dos vaksin COVID-19 agar tidak mengambil mudah dan berasakan diri mereka kebal daripada jangkitan wabak itu.
-Advertisement-
Justeru, baginda menyeru agar rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menjalani kehidupan norma baharu bagi membantu kerajaan menangani wabak COVID-19.
“Amalkan pemakaian pelitup muka apabila keluar rumah dan pastikan penjarakan fizikal sentiasa dipatuhi,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14, di sini, hari ini.
Sultan Selangor juga berharap rakyat negeri ini memberi kerjasama sepenuhnya untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 masing-masing seperti yang ditetapkan oleh KKM.
“Ahli-ahli Yang Berhormat semua perlu memainkan peranan untuk menasihati rakyat agar segera mengambil suntikan vaksin COVID-19 supaya Selangor boleh mencapai imuniti kelompok pada tarikh yang disasarkan,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan berkaitan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara, khususnya di Selangor dan berasa amat sedih serta dukacita melihat setiap hari negeri ini merekodkan jumlah pesakit dan kematian COVID-19 paling tinggi di Malaysia.
-Advertisement-
“Beta tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak atas peningkatan kadar kematian dan jumlah pesakit COVID-19 ini,” titah baginda.
Namun pada hemat baginda, peningkatan jumlah pesakit dan kematian akibat COVID-19 disebabkan kelalaian terhadap penguatkuasaan dan pematuhan SOP yang dikeluarkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara.
“Namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur, nyawa rakyat beta yang telah meninggal dunia akibat COVID-19 tidak dapat dikembalikan. Apa yang penting sekarang ini adalah untuk kita melangkah ke hadapan dengan penuh positif dan mengharapkan kesilapan dan kelalaian yang berlaku tidak diulangi semula,” titah baginda.
– BERNAMA -BH