Jelapang padi kedua: Wujudkan rantaian industri padi lengkap di Sabah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU: Selaras misi menjadikan Sabah jelapang padi kedua negara, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) komited membantu mewujudkan rantaian industri yang lengkap bagi meningkatkan pengeluaran padi di negeri itu.

-Advertisement-

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) LPP, Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim, berkata rantaian industri padi yang lengkap merangkumi proses penyediaan benih padi, pembajakan sawah, penanaman, pembajaan, penuaian dan pengilangan padi.

“Konsep kita ialah benih kita sediakan, menanam padi kita yang tanam, baja kita yang sediakan, manakala membajak dan menuai padi juga menggunakan jentera pembajak dan jentuai Pertubuhan Peladang Negeri (PPN).

“Kita juga berharap ada kilang padi juga di Sabah nanti, sekali gus membentuk rantaian industri padi yang lengkap di Sabah. Ini antara harapan kita dan PPN Sabah,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPN Sabah Ke-35 hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPP, Amir Matamin dan Pengarah LPP Sabah, Hadriyani Ahmad.

Nik Mohd Shaharil berkata, pembentukan jelapang padi kedua penting bagi meningkatkan jaminan makanan terutama padi dan beras negara daripada terancam jika berlaku masalah di kawasan pengeluaran di Semenanjung.

Katanya, beberapa daerah di negeri ini khususnya Kota Belud, Papar, Keningau, Pitas dan Beluran memiliki kawasan yang luas untuk penanaman padi.

-Advertisement-

Berikutan itu, beliau berkata PPN Sabah perlu diberi keutamaan dalam mengembangkan lagi industri padi di negeri ini agar lebih ramai ahli Pertubuhan Peladang dapat dilibatkan dalam aktiviti berkenaan.

“Kerajaan meletakkan harapan agar PPN sama-sama merealisasikan usaha untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran padi negara yang ketika ini mencapai kira-kira 70 peratus,” katanya.

Terdahulu, Mohd Nazri berkata, sudah tiba masanya Pertubuhan Peladang di Sabah bertindak lebih aktif merancang dan melaksanakan projek pertanian atau industri berasaskan makanan di negeri ini.

Katanya, banyak aktiviti boleh dilaksanakan dengan bantuan dana yang disediakan kerajaan melalui LPP asalkan Pertubuhan Peladang termasuk di peringkat kawasan mengemukakan permohonan dana untuk projek yang mahu dilaksanakan.

“Masalahnya kita tidak memohon sedangkan banyak peruntukan diberikan. Jadi saya mahu pertubuhan peladang di Sabah buat permohonon bermula projek untuk tahun depan,” katanya.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373