Kasma sedia tawan Jasin

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin akan menggunakan pengalaman luasnya bagi meraih keputusan memberangsangkan di Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Bandar Jasin, Melaka, hujung minggu ini.

-Advertisement-

Kasma yang sedang mendahului carta keseluruhan kelas CP150 berkata, setiap pusingan mempunyai karakter tersendiri dan baginya Litar Jasin mempunyai kelebihan di laluan lurus sekali gus bakal memberikan cabaran terutama buat jentera Yamaha.

Bekas pelumba di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2 itu baru saja pulang ke tanah air selepas menyertai Kejuaraan Seluruh Jepun (AJRRC) dan baginya, litar teknikal seperti Jasin lebih diminatinya berbanding litar lebih besar seperti Litar Antarabangsa Sepang.

“Litar Jasin mempunyai kelebihan pada laluan lurus dan mungkin lebih cabaran bagi jentera Yamaha. Saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan bagi pusingan ketiga ini disebabkan perlumbaan di Sugo minggu lalu.

“Namun begitu, saya agak yakin dengan kebolehan pasukan saya dalam penyediaan pelarasan yang bagus untuk perlumbaan ini. Saya lebih gemar litar teknikal. Bagi pusingan di Jasin, sudah pasti saya akan berikan yang terbaik,” kata Kasma.

Kasma berkata, untuk saingan di litar teknikal, dia yakin dapat memaksimakan pengalaman dan kemahirannya dalam pengendalian jentera untuk meraih pencapaian dikehendaki.

-Advertisement-

“Cabarannya tidaklah besar terutamanya dalam pengendalian jentera yang berlainan. Sudah pasti jentera besar (di AJRRC) memerlukan lebih banyak kekuatan fizikal berbanding dengan jentera yang kecil seperti yang digunakan dalam Kejuaraan Cub Prix.

“Tetapi bagi saya, ini adalah tahun kedua berlumba dalam dua kategori berbeza maka saya sudahpun biasa dengan kelainan berkenaan. Apa yang lebih ketara dan penting adalah gaya tunggangan,” katanya.

Kasma ketika ini mendahului carta keseluruhan dengan 35 mata dan hanya dipisahkan dua mata daripada penghuninya di tangga kedua, Azroy Hakeem Anuar yang mewakili pasukan Honda Yuzy Estremo Team dan lapan mata di depan rakan seperjuangan Azroy, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy di tempat ketiga.

-Berita Harian