Taktik nelayan sembunyi dadah RM1 juta bawah lantai bot terbongkar

Estimate Reading Time: < 1 minute

SUNGAI BESAR: Taktik empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyembunyikan 30 kilogram (kg) methamphetamine bernilai RM1.08 juta di bawah lantai kayu bot nelayan, gagal selepas ditahan polis Jumaat lalu.

-Advertisement-

Kesemua lelaki berusia 25 hingga 41 tahun diberkas sepasukan polis di sebuah kawasan jeti di Sekinchan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata kesemua PATI yang merupakan nelayan ditahan pada jam 10 malam di dalam bot berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam bot menemui dua plastik hitam yang mengandungi 30 pek dadah yang berselindung di sebalik bungkusan teh.

“Setiap pek dianggarkan seberat satu kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Agus Salim berkata, pihaknya percaya dadah itu dihantar ke negara jiran iaitu Indonesia dengan menggunakan bot.

“Kita menerima laporan awal bot terbabit membawa dadah sebelum serbuan dilakukan di lokasi kejadian.

-Advertisement-

“Polis juga masih menjalankan siasatan lanjut berhubung berapa lama kesemua suspek melakukan kegiatan ini.

“Melalui rampasan dadah itu, ia boleh dibekalkan kepada 150,000 penggunaan dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.2 gram,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bermula 20 hingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– Berita Harian