KKM jangka tiada gelombang baharu jangkitan COVID-19

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA, 10 Jan 2023 (The Capital Post): Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan negara tidak akan dilanda gelombang baharu COVID-19 berdasarkan data dan kes jangkitan harian yang terus menurun.

-Advertisement-

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat ini juga, belum ada varian baharu dikesan dalam tempoh setahun ini, selain Omicron.

“Setakat ini, data menunjukkan kes harian dan kemasukan ke hospital semakin menurun. Jadi, kita bergantung kepada data.

“Kita ada strategi menerusi pemantauan survalens, air kumbahan untuk lihat varian baharu. Setakat ini, hanya Omicron sudah ada dalam persekitaran, kita sedang memantau rapi sekiranya ada varian baharu.

“Kita lihat walaupun dijangkakan kes akan melonjak dengan setiap varian, ini tidak berlaku.

“Ini yang memberi kita keyakinan. Kalau Omicron, dengan vaksin yang ada masih mampu beri ketahanan dan perlindungan kepada setiap individu dengan baik. Oleh itu, kita jangkakan mungkin tidak berlaku (gelombang baharu),” katanya pada sesi taklimat khas bersama media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, KKM akan memperketatkan kawalan dan meningkatkan langkah pencegahan jika berlaku peningkatan kes, termasuk kes import.

“Kita akan perketatkan kawalan dan tingkatkan langkah pencegahan kalau ada varian baharu yang dikesan iaitu selain Omicron atau jika ada peningkatan (kes) di klinik sentinel, mahu pun pengesanan varian baharu daripada sampel air kumbahan.

-Advertisement-

“Kita juga melihat sekiranya penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) atau wad melebihi 30 peratus, ini akan kita ambil tindakan. Setakat ini, kurang 20 peratus penggunaan, kes kematian disebabkan Omicron pun tidak meningkat, kalau ada kita ambil tindakan lebih ketat,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga akan memantau sebarang peningkatan kes di negara jiran dan mengambil tindakan lanjut jika berlaku lonjakan kes.

Beliau berkata, sebarang keperluan untuk KKM mempertingkat tindakan daripada yang dilakukan ketika ini, perlu bergantung kepada data dan fakta.

“Dalam tempoh dua minggu ini, kes semakin menurun, kurang 500 kes. Beberapa bulan sebelum ini, kes antara 3,000 hingga 4,000.

Kita pantau keadaan semasa sebelum mengambil sebarang tindakan drastik,” katanya.

-BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279