PUTRAJAYA 23 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh mutu perkhidmatan pembedahan menerusi peluncuran General Surgical Services Operational Policy (GSSOP) Edisi Kedua sempena Sesi Townhall Ketua Pengarah Kesihatan bersama warga Perkhidmatan Pembedahan Am di Institut Kanser Negara.
Peluncuran tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Mahathar bin Abd Wahab, sebagai sebahagian daripada usaha memastikan perkhidmatan pembedahan am di hospital KKM dilaksanakan berdasarkan tatacara kerja, piawaian serta tadbir urus klinikal yang jelas dan seragam.
GSSOP berperanan sebagai panduan penting dalam menyelaraskan operasi Perkhidmatan Pembedahan Am, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, selamat dan berkesan kepada pesakit di seluruh negara.
-Advertisement-
Sesi townhall tersebut turut membuka ruang kepada pakar-pakar pembedahan dari pelbagai negeri untuk berkongsi pandangan, pengalaman serta cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan perkhidmatan di lapangan.
Pendekatan libat urus secara langsung antara kepimpinan KKM dan pengamal perubatan itu dilihat penting bagi memperkukuh kerjasama, mengenal pasti ruang penambahbaikan serta memastikan keperluan sebenar di lapangan dapat diberi perhatian dalam usaha memperkasa Perkhidmatan Pembedahan Am demi kepentingan pesakit dan sistem kesihatan negara. – The Capital Post