SARAWAK 17 September 2026 (The Capital Post) – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong, mengadakan lawatan kerja ke Projek Pembangunan Tamu Desa di Kampung Grogo, Bau, Sarawak bagi meninjau perkembangan kemudahan keusahawanan masyarakat luar bandar.
Dalam lawatan tersebut, beliau mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi pelaksanaan lima projek pembinaan baharu dan kerja-kerja naik taraf Tamu Desa di kawasan Parlimen Mas Gading. Peruntukan berkenaan bertujuan memperluas ruang perniagaan serta menyokong pertumbuhan aktiviti ekonomi dalam kalangan komuniti luar bandar.
Beliau turut mengadakan sesi walkabout dengan meninjau beberapa lokasi Tamu Desa lain, antaranya Pasar Tamu Tembawang Sauh, Pusat Penjaja Jalan Depo, Pasar Sukma Ria dan Pending Jetty Hawker Centre bagi melihat sendiri kemudahan serta aktiviti perniagaan yang dijalankan.
Berdasarkan rekod bagi tempoh 2024 hingga 31 Ogos 2026, sebanyak 61 projek Tamu Desa telah dilaksanakan di Sarawak dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM13 juta. Dengan tambahan RM1 juta bagi lima projek di Mas Gading, jumlah komitmen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk projek Tamu Desa di Sarawak bagi tempoh 2024 hingga 2026 kini mencecah RM14 juta.
-Advertisement-
Inisiatif tersebut mencerminkan usaha berterusan KUSKOP dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan mikro serta memastikan peluang pembangunan ekonomi dapat diperluaskan secara inklusif kepada masyarakat luar bandar.
Selain menyediakan ruang perniagaan yang lebih selesa dan tersusun, pembangunan Tamu Desa turut berperanan sebagai pemangkin ekonomi setempat dengan membantu meningkatkan peluang pendapatan peniaga serta mengukuhkan hubungan ekonomi dalam komuniti luar bandar.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Mas Gading, YB Encik Mordi Bimol; Ahli Parlimen Bandar Kuching merangkap Setiausaha Politik Menteri KUSKOP, YB Kelvin Yii Lee Wuen; Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Fuaad Kenali; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, YBhg. Datuk Saidatu Akhma Hassan serta pengurusan kanan KUSKOP dan agensi berkaitan. – The Capital Post