NHRVR pantau keselamatan sukarelawan sihat kajian klinikal

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Platform Daftar Sukarelawan Penyelidikan Sihat Nasional (NHRVR) yang dilancarkan hari ini bakal memantau keselamatan sukarelawan sihat yang menyertai kajian klinikal di Malaysia.

-Advertisement-

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia juga berfungsi membantu penyelidik dan sukarelawan memastikan integriti kajian klinikal dijalankan tidak terjejas supaya sukarelawan tidak terbabit dalam beberapa kajian klinikal serentak dalam tempoh masa ditetapkan.

Beliau berkata, ia langkah penting bagi ekosistem kajian klinikal di negara ini, manakala usaha bersama banyak pihak itu boleh memberi manfaat kepada sukarelawan kajian dan organisasi yang menjalankan penyelidikan.

Katanya, pihaknya perlu mengakui dengan pengenalan dan kewujudan platform digital, ia mempengaruhi tatacara kajian klinikal.

“Selain itu, tingkah laku sukarelawan kajian juga berubah dengan ketara berikutan penggunaan teknologi inovasi dan penggunaan peralatan mudah alih yang secara langsung menyumbang kepada bagaimana mereka berinteraksi serta membuat keputusan.

“Subjek kajian ketika ini mempunyai kemudahan akses kepada protokol kajian, pusat kajian dan syarat pengambilan mereka, manakala transformasi digital yang kita saksikan sejak sedekad ini menyedarkan kita kepentingan kerjasama baik antara pusat kajian dan industri penyelidikan.

“Perkara relevan dengan program hari ini ialah pengawasan pengambilan sukarelawan sihat sebagai subjek kajian untuk kajian klinikal.

“Wujud keperluan mendesak di Malaysia untuk mengesan pertindihan sukarelawan seperti dilaksanakan secara proaktif di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS),” katanya ketika melancarkan NHRVR secara maya, hari ini.

-Advertisement-

Pelancaran itu turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim; Pengurus Institut Kesihatan Negara, Dr S Asmaliza Binti Ismail dan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut Kesihatan Negara (NIH), Dr Kalaiarasu M Peariasamy.

Dr Noor Hisham berkata, kedua-dua negara itu mempunyai daftar kajian yang boleh disahkan untuk mengawasi pembabitan sukarelawan, terutama dalam memastikan tiada berlaku pertindihan subjek kajian.

Beliau berkata, pihaknya berharap kewujudan satu platform untuk memastikan sukarelawan tidak terbabit dalam pelbagai kajian pada satu-satu masa, prosedur saringan yang mahal dapat dielakkan, sekali gus meningkatkan ketelusan strategi pengambilan sukarelawan antara pusat kajian klinikal.

Katanya, NHRVR akan mengguna pakai konsep kajian klinikal diamalkan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) bagi kajian klinikal terhadap manusia.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, NHRVR yang dibangunkan Institut Penyelidikan Klinikal itu hanya boleh diakses pengguna berdaftar dan terlatih saja, sekali gus menjamin keselamatan dan kerahsiaan data disimpan.

“Pembangunan daftar ini mencerminkan komitmen Kementerian Kesihatan (KKM) menangani isu keselamatan sukarelawan kajian klinikal di negara ini. Kami berharap inisiatif ini akan meningkatkan kebolehan dan keupayaan Malaysia menjalankan kajian klinikal selaras piawaian antarabangsa.

“Kami mengalu-alukan sebarang kerjasama daripada industri penyelidikan untuk meningkatkan kajian klinikal berkualiti di negara ini,” katanya.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373