‘Usah terpengaruh, klip video tak cerminkan akhlak, pendirian DAP’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Klip video tular membabitkan seorang ahli DAP dalam satu majlis makan malam anjuran sebuah cawangan parti itu adalah majlis yang berlangsung Jun lalu dan bukan ketika tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

-Advertisement-

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata individu berkenaan adalah ahli biasa parti itu dan tidak sama sekali mewakili kepemimpinan DAP.

Beliau turut mengarahkan supaya status keahlian individu tersebut digantung serta-merta sementara Jawatankuasa Disiplin DAP mengambil tindakan susulan.

“Pucuk pimpinan DAP mengutuk keras ucapan tersebut yang bersifat provokatif dan berunsurkan kata-kata kesat.

“Klip video lama ini sengaja diviralkan oleh pihak tertentu pada waktu kritikal ini bertujuan untuk mematahkan momentum kempen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” kata Loke dalam perkongsian di laman Facebooknya.

-Advertisement-

Beliau juga menyeru semua penyokong PH dan BN supaya tidak terpengaruh dengan klip video tersebut yang tidak sama sekali mewakili akhlak dan pendirian DAP.

Tular sejak semalam satu klip video memaparkan individu yang berucap dalam bahasa Mandarin yang didakwa mengeluarkan kenyataan negatif terhadap UMNO.

– BERNAMA

– BH