Pasukan SAR harungi lurah ais sedalam 1,000 meter cari Muhammad Hawari

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Lurah ais sedalam lebih 1,000 meter antara cabaran dilalui pasukan sherpa ketika menjejaki pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest sejak Jumaat lalu.

-Advertisement-

Muhammad Hawari, 33 dipercayai terjatuh di kawasan kaki Gunung Lhotse, Nepal. Sumber berkata, tiga sherpa berpengalaman diarahkan untuk menjejaki mangsa sejak Ahad lalu. “Mereka berusaha mencari mangsa di lurah ais sekitar laluan pendaki menuju ke Base Camp.

“Bagaimanapun pencarian di lurah ais berkenaan amat berisiko dan mencabar serta memerlukan kemahiran tinggi. Mereka perlu menuruni lurah ais yang disyaki dilalui Muhammad Hawari. “Difahamkan ada antara lurah ais itu mempunyai kedalaman sehingga satu kilometer. “Ia mampu meragut nyawa sesiapa sahaja jika tergelincir jatuh dari ketinggian itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, selain menggunakan khidmat sherpa, pihak Kedutaan Malaysia di Nepal turut berikhtiar mengesan mangsa menggunakan isyarat telefon bimbit digunakan mangsa.

“Bagaimanapun, usaha berkenaan mengalami kesukaran berikutan isyarat terakhir dikesan adalah pada 6 Mei lalu. “Usaha pencarian dan mengesan Muhammad Hawari semakin suntuk ketika ini berikutan Kerajaan Nepal akan menutup semua aktiviti di pergunungan Everest pada 29 Mei ini atas faktor keselamatan,” katanya.

-Advertisement-

Difahamkan, apabila musim pendakian gunung Everest tamat pada penghujung Mei ini, pihak berkuasa negara berkenaan akan membawa keluar semua peralatan perkhemahan, tali dan tangga dari kawasan pendakian.

“Jika ini berlaku, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan mungkin terpaksa dihentikan kelak.Ia hanya boleh disambung semula pada musim pendakian pada tahun hadapan iaitu antara bulan April hingga Mei.Pasukan penyelamat mencari Muhammad Hawari yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu di pergunungan Everest.

– Berita Harian