Pegawai kanan polis dituduh terima sogokan

Estimate Reading Time: < 1 minute

Butterworth: Pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan meminta dan menerima suapan berbentuk wang tunai pada Ogos 2018.

-Advertisement-

Tertuduh, Ameyrudin Ahmad Zuki, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abd Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, dia tertuduh sebagai Penolong Penguasa Polis didakwa secara rasuah menyetujui untuk menerima suapan RM20,000 daripada seorang lelaki berusia 54 tahun sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

-Advertisement-

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam biliknya di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada 5 Ogos 2018, kira-kira jam 12 tengah hari.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.