Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja selesai

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja berhubung isu pelantikan Perdana Menteri baharu selesai dengan Raja-Raja Melayu dilihat meninggalkan Istana Negara sebentar tadi.

-Advertisement-

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang terawal berangkat pulang meninggalkan Istana Negara pada jam 4.22 petang diikuti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pula dilihat berangkat pulang pada jam 4.25 petang disusuli Pemangku Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada jam 4.28 petang.

Turut berangkat meninggalkan Istana Negara ialah Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada jam 4.30 petang diikuti Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Terdahulu, perbincangan khas itu bermula pada jam 3 petang sebelum berakhir sejam kemudian. Tumpuan seluruh negara hari ini terarah kepada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja.

-Advertisement-

Difahamkan ia adalah bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri baharu dan kerajaan, susulan peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perbincangan itu adalah yang ketiga berlangsung di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari 2019 dengan yang pertama berlangsung pada 25 Oktober 2020.

Difahamkan, perbincangan itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 114 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas semalam.

-BH