Pertembungan maruah TMJ, Sanusi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Aksi Liga Super antara Kedah Darul Aman (KDA) FC berdepan ‘raja’ Liga Super yang baru dimahkotakan, Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini, bukan setakat ‘hangat’ di atas padang namun juga di luar padang.

-Advertisement-

Ini lantaran ‘perang mulut’ antara Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang jelas menambahkan ‘rencah’ bagi pertembungan terbabit.

Ini adalah pusingan pertama bagi mereka dan aksi malam ini sedikit sebanyak akan mencorak perlawanan kedua di Stadium Sultan Ibrahim, minggu depan.

Tindakan dua individu yang boleh dianggap berskala besar bagi pasukan masing-masing itu sememangnya merancakkan lagi suasana bola sepak cuma sayangnya, ‘tujahan’ Sanusi sekadar mengancam di media sosial, tidak di atas padang berdasarkan persembahan skuad Kenari.

Justeru, anak buah Aidil Sharin Sahak seharusnya membuktikan sesuatu pada aksi di Stadium Darul Aman di mana kemampuan mereka juga setaraf dengan ‘kehebatan’ kata-kata Sanusi di media sosial.

Berdasarkan prestasi semasa, ia satu tugas berat namun tiada istilah yang mustahil dalam kamus bola sepak – jadi kata-kata ini patut dijadikan pegangan oleh pemain KDA FC menuju ke aksi ‘panas’ ini.

Kedua-dua pasukan juga boleh dikatakan terdesak namun istilah terdesak ini memberi konotasi yang jauh berbeza buat KDA dan juga JDT.

KDA terdesak untuk bangkit selepas diaibkan pasukan ‘lokal’, PJ City FC di hadapan penyokong sendiri, mana mungkin mereka mahu sekali lagi memberikan kekecewaan kepada penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan pada hari bekerja.

-Advertisement-

Harimau Selatan juga ‘terdesak’ untuk memastikan rekod tanpa kalah mereka terus kekal ketika saingan berbaki empat perlawanan dan hanya kira kira 360 minit untuk memisahkan mereka daripada satu lagi rekod ‘The Invincibles’ seperti dilakar pada musim 2016.

Untuk itu, apa lagi yang perlu ditunggu KDA FC sekiranya peluang untuk menghadiahkan kekalahan sulung buat skuad bimbingan Hector Bidoglio itu kini terbentang luas di depan mata?

Cumanya, sebelum memasuki gelanggang, Tunku Ismail dan JDT sudahpun ‘menang besar’ memandangkan JDT bertandang ke Stadium Darul Aman dengan status sebagai juara Liga Super.

Berdasarkan tradisi di Liga Perdana Inggeris (EPL), juara liga lebih awal akan menerima ‘guard of honour’, jadi mungkinkah kita dapat melihat pemain KDA FC melakukan perkara sama malam ini?

Tiada perkara yang lebih indah daripada menyaksikan pemain KDA melakukan ‘guard of honour’ kepada JDT – adakah ini satu ‘tamparan’ buat Sanusi dan sudah tentu hanya kemenangan dapat membasuh ‘luka’ itu.

Apapun natijah perlawanan malam ini, satu perkara yang pasti adalah ‘sesi berbalas pantun’ antara dua individu itu pasti tidak akan terhenti setakat di sini.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279