Pulangan tidak munasabah punca dividen rendah – Mohamad

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pelaburan tidak munasabah yang dijalankan kepimpinan terdahulu menyebabkan keuntungan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) lebih rendah dan memberi kesan kepada pembayaran dividen kepada ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 2018.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata pihaknya sedia maklum dengan rungutan orang ramai yang mempertikaikan kadar dividen yang diumumkan LTAT hari ini.

Katanya, untuk mengisytiharkan dividen yang lebih tinggi, ia memerlukan pulangan yang baik hasil daripada pelaburannya.

Beliau berkata, pengurusan LTAT hari ini mewarisi organisasi yang sarat dengan pelbagai ketidakpatuhan serta kelemahan pengurusan, kesan daripada kepimpinan yang tidak telus sebelum ini.

“Sebagai contoh, LTAT menerima Pendapat Berteguran daripada Jabatan Audit Negara bagi Tahun Kewangan 2017. Jumlah keuntungan bersih LTAT pada 2017 telah diselaraskan kerana mengambil kira hasil daripada jualan tanah yang belum dimuktamadkan.

“Untuk rekod, pendapatan bersih LTAT pada 2017 turun lebih 30 peratus daripada RM686.8 juta kepada RM459.5 juta.

“Bagi Tahun Kewangan 2016 pula, pendapatan bersih LTAT juga turun sebanyak 48 peratus daripada RM685.5 juta kepada RM356.2 juta selepas mengambil kira penyelarasan daripada penjualan tanah yang tidak dimuktamadkan, namun hasil jualan itu telah diambil kira sebagai pendapatan LTAT,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, malam ini.

LTAT hari ini mengumumkan dividen dua peratus untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 2018, dengan jumlah agihan RM161.2 juta. Dividen berkenaan akan diagihkan pada ahli, minggu ini.

Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin, berkata pendapatan bersih (belum diaudit) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 bagi LTAT adalah RM221 juta serta ia adalah penurunan ketara sebanyak 51.9 peratus berbanding pendapatan bersih dinyatakan semula sebanyak RM459.5 bagi tahun kewangan 2017.

Mohamad berkata, LTAT perlu menjaga kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk jangka masa panjang.

Katanya, LTAT perlu terus berpegang kepada mandat berkenaan kerana tiada gunanya mengisytiharkan dividen yang tinggi jika ia memberi kesan negatif terhadap kewangan mereka untuk jangka masa panjang.

Beliau berkata, dividen yang diumumkan seiring kemampuan LTAT ketika ini dan lembaga itu perlu melindungi simpanan ahli supaya tidak tergadai seperti semasa pentadbiran sebelum ini.

“Saya menyeru LTAT untuk terus memperketatkan strateginya menjana pulangan yang lebih baik, mampan dan bertanggungjawab demi kebaikan ahlinya,” katanya.- BHarian

-Advertisement-

-Advertisement-