PVIP Malaysia tak memuaskan, gagal capai sasaran

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyemak semula pelaksanaan Program Visa Premium (PVIP) Malaysia yang diperkenalkan sejak 1 Oktober tahun lalu selepas tidak mencapai sasaran seperti yang ditetapkan.

-Advertisement-

Walaupun tidak berhasrat memansuhkan program terbabit, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pelaksanaan PVIP setakat ini tidak memuaskan.

“Saya tahu Visa Premium tidak mencapai sasaran dihasratkan, dilihat dari segi angka diluluskan, tidak mencapai sasaran. Tidak memuaskan, jadi ia patut disemak semula.

“Setakat ini tiada hasrat untuk memansuhkannya, saya lebih nak melihat apakah ada ruang untuk saya tambah baik,” katanya pada sesi temubual bersama media semalam.

Media sebelum ini melaporkan, KDN memperkenalkan PVIP Malaysia bagi menarik minat hartawan global menetap dan melabur di Malaysia.

Ia terbuka kepada semua peringkat usia dan warganegara kecuali Israel atau negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia dan ia boleh dipohon bermula 1 Oktober ini tahun lalu.

Mengulas mengenai program Malaysia My Second Home (MM2H), Saifuddin Nasution berkata, walaupun syaratnya sudah diketatkan, strategi yang digunakan kerajaan disifatkan menjadi.

-Advertisement-

“Macam MM2H, saya kata apabila diketatkan syaratnya, bertujuan mendapatkan pemohon berkualiti, misalnya aset cair dinaikkan, akaun deposit tetap dinaikkan.

“Sekarang angka permohonan antara 1,800 ke 1,900. Yang kita sudah beri pra kelulusan itu sehingga lebih 800 (permohonan). Sebagai contoh sebaik kita luluskan yang 800 ini, mereka kena masukkan RM1 juta dalam akaun dan dengan cepat kita mendapat RM800 juta,” katanya.

Katanya, walaupun MM2H dipinda dengan meletakkan syarat lebih ketat, angka dan data menunjukkan ia adalah strategi baik.

“Maknanya pemohon yang memohon itu betul-betul dari negara yang misalnya mempunyai angka warga emas yang ramai dan mereka nak habiskan usia persaraan mereka di sini.

“Pada masa dahulu, ketika MM2H meletakkan syarat yang lebih rendah, kita dapati antara negara yang paling ramai masuk adalah dari Bangladesh. Sekarang ini apabila kita tingkatkan syarat lebih ketat, ramai dari United Kingdom, Jepun, Singapura,” katanya.

– Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427