Ramai yang masih bimbang melancong dalam negeri

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Peralihan Selangor ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sememangnya ditunggu-tunggu pelbagai pihak termasuk ibu bapa yang merancang untuk membawa anak-anak bercuti.

-Advertisement-

Walaupun hanya boleh melancong dalam negeri, ia sudah cukup memandangkan anak-anak sudah lama terkurung.

Bagaimanapun, terdapat segelintir ibu bapa risau dengan kes baharu positif COVID-19 yang masih tinggi di negeri itu.

Bagi Asyikin Isa, 33, peralihan fasa PPN masih tidak memberinya keyakinan untuk membawa anak perempuan enam tahun ke tempat awam terutamanya di kawasan yang sesak.

“Walaupun sudah boleh melancong dalam negeri, saya membuat keputusan untuk tidak membawa anak ke mana-mana berikutan risau jangkitan wabak yang masih tinggi.

-Advertisement-

“Apa yang saya lakukan untuk menghilangkan rasa bosan anak perempuan yang seharian di rumah adalah membawanya bersiar-siar dengan menaiki kereta sahaja, untuk membawanya ke taman juga saya masih risau.

“Jika kes di Selangor terus menurun, saya lebih yakin untuk membawanya ke tempat awam seperti taman permainan atau pantai,” katanya.

Seorang lagi ibu, Haizan Zakaria, 37, memaklumkan dia tidak sabar untuk membawa dua anak lelakinya ke Pantai Morib, Banting berikutan anaknya sukakan pantai.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya dan suami memang setiap hujung minggu akan membawa anak-anak ke pantai atau tempat rekreasi.

“Apabila larangan rentas daerah serta negeri dilaksanakan, anak-anak terkurung dan stress di rumah. Kami juga merancang untuk bercuti ke Melaka. Bagaimanapun rentas negeri tidak dibenarkan, kami akan membawa mereka ke Pantai Morib sahaja,” katanya yang menetap di Bukit Subang dekat sini.

Sementara itu, pengusaha nurseri pokok dan landskap yang ingin dikenali sebagai Alya memaklumkan dia lega serta gembira apabila dibenarkan beroperasi sepenuhnya mulai hari ini.

Katanya, dia terpaksa menanggung kerugian yang tinggi selepas tidak beroperasi beberapa bulan lalu. Saya bersyukur dan lega serta berharap agar tiada lagi penutupan selepas ini kerana terlalu banyak kerugian yang terpaksa saya tanggung sebelum ini.

“Saya juga sedaya-upaya memastikan pelanggan yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. -BH