RMK-12: Usaha bersepadu lonjak pendapatan B40, M40

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Usaha lebih bersepadu akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan menangani kenaikan kos sara hidup B40 serta kumpulan mudah terjejas, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

-Advertisement-

Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan akan meneruskan rangkaian peruntukan bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial kepada mereka yang layak.

Jelasnya, program pemerkasaan ekonomi komuniti bandar dan skim pembangunan kesejahteraan rakyat di luar bandar dengan peruntukan RM1.5 bilion akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.

“Kemiskinan hari ini dilihat daripada pelbagai dimensi selain kewangan, justeru dalam aspek pendidikan, lebih ramai murid daripada keluarga B40 akan diberi keutamaan untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa.

“Dalam aspek kesihatan, capaian kepada penjagaan kesihatan akan diperluas. Isu kekurangan zat dan tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga B40 semakin meningkat, maka ia akan ditangani secara komprehensif termasuk melalui makanan berkhasiat,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), di Dewan Rakyat, hari ini.

-Advertisement-

Ismail Sabri berkata, program, latihan kemahiran semula dan aktiviti keusahawanan akan ditingkatkan demi memacu keupayaan, kemahiran serta daya saing mencari pekerjaan golongan M40.

Selain itu, katanya, mereka digalak melanggan insurans kesihatan dan pekerjaan pada kadar yang mampu dibayar.

“Kita akan memastikan anak-anak M40 mendapat akses kepada pendidikan berkualiti pada kos yang berpatutan,” katanya. -BH