Sasaran turun defisit ke 5.0 peratus boleh dicapai – Penganalisis

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Malaysia mampu mencapai sasaran defisit fiskal 5.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2023 berbanding 5.6 peratus pada 2022 meskipun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar, demikian kata ahli ekonomi.

-Advertisement-

Ketua Ekonomi OCBC Bank, Selena Ling dan Pakar Ekonomi OCBC Bank, Lavanya Venkateswaran, berkata ia dijangka disokong oleh kutipan hasil lebih tinggi, subsidi dan perbelanjaan bantuan sosial yang lebih rendah.

Mereka berkata, kerajaan telah menyatakan hasratnya untuk meneruskan pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar bagi bekalan elektrik dan minyak runcit, yang akan mewujudkan ruang fiskal untuk memberi tumpuan terhadap perbelanjaan infrastruktur dan keutamaan pembangunan lain.

“Pelaksanaan subsidi penggunaan elektrik bersasar mungkin dilaksanakan seawal tahun ini, diikuti oleh subsidi minyak bersasar pada 2024.

“Bagaimanapun langkah berkenaan mungkin menimbulkan tekanan inflasi,” kata mereka dalam satu kenyataan mengenai tinjauan ekonomi bagi separuh kedua tahun ini.

Pakar ekonomi OCBC itu mengunjurkan inflasi utama akan menyusut kepada 2.9 peratus secara tahunan pada 2023 berbanding 3.4 peratus pada 2022, manakala inflasi teras kekal tidak berubah pada 3.0 peratus tahun ini.

Mereka berkata, angka berkenaan berada dalam julat unjuran 2.8 hingga 3.8 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun ini bagi inflasi utama dan teras.

-Advertisement-

“Ketegaran inflasi teras ialah satu faktor penting bagi BNM, yang dijangka mengekalkan pendirian tegasnya pada separuh kedua 2023.

“Unjuran asas kami ialah BNM akan mengekalkan kadar sepanjang tempoh selanjutnya pada 2023 dan juga pada awal 2024.

“Bagaimanapun, jika Rizab Persekutuan AS (Fed) mengambil pendirian lebih tegas daripada unjuran asas kami, terdapat kemungkinan BNM meningkatkan kadar 25 mata asas pada lewat tahun ini,” katanya.

Mengenai pertumbuhan ekonomi negara ini, pakar ekonomi itu menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.4 peratus secara tahunan pada 2023.

Mereka berkata, selepas kadar pertumbuhan mantap pada suku pertama 2023, momentum pertumbuhan dijangka menyederhana bagi suku-suku tahun selanjutnya tahun ini.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373