Semakin ramai jadi gelandangan di Kanada

Estimate Reading Time: 2 minutes

GRANDY: Kanada kini dicengkam lonjakan gelandangan yang menyaksikan puluhan ribu penduduk negara itu tinggal di jalanan berikutan sewa dan harga pasaran hartanah meningkat terlalu tinggi.

-Advertisement-

Penyelidik memberi amaran bahawa data yang dikeluarkan kerajaan terlalu memandang rendah atau meremehkan bilangan gelandangan di seluruh negara.

Di Quebec, satu daripada dua gelandangan boleh ditemui di kawasan luar bandar di wilayah timur dan bukan hanya di Montreal, seperti yang lazimnya berlaku sebelum ini.

Menurut laporan kerajaan Quebec, satu daripada empat gelandangan mendapati diri mereka terpaksa merempat di jalanan selepas dihalau dari kediaman.

Pengarah pertubuhan anti-kemiskinan tempatan, Karine Lussier, berkata di Granby sahaja, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 unit rumah mampu milik.

Antara 2018 dan 2022, bilangan gelandangan di Quebec meningkat sebanyak 44 peratus, jumlah itu mencecah 10,000 orang tahun lalu.

Orang Asli, yang mewakili lima peratus daripada penduduk Kanada, kini banyak ditemui hidup di jalanan, terutamanya kaum Inuit.

Datuk Bandar, Julie Bourdon, berkata isu kehilangan tempat tinggal tidak wujud tiga tahun lalu di Granby.

“Sewa sekarang sangat tinggi berbanding dua tahun lalu manakala peningkatan kos sara hidup dan inflasi melambung tinggi pada tahun ini, namun gambaran sebenar jauh lebih buruk daripada statistik terkini.

-Advertisement-

“Pihak Majlis Perbandaran pula lebih cenderung membiarkan gelandangan terus tinggal dalam khemah sebagai langkah lebih sesuai berikutan peningkatan kos bagi menyediakan perumahan untuk mereka.

Datuk Bandar Gatinea, France Belisle, berkata masalah gelandangan di bandar dengan 300,000 penduduk di seberang sungai dari ibu negara, Ottawa itu, tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“Ini kerana statistik berkenaan adalah daripada tahun lalu sedangkan masalah gelandangan kini sudah berlipat ganda.

“Peningkatan kos sara hidup semasa yang turut melambung tinggi bermakna masalah ini mungkin bertambah parah. Orang ramai tidak lagi dapat menampung kehidupan,” katanya.

Data kerajaan menganggarkan terdapat kira-kira 235,000 gelandangan di seluruh negara.

Bagaimanapun, menurut profesor Universiti Western Ontario, Cheryl Forchuk, jumlah itu hanya mengambil kira individu yang mengakses tempat perlindungan.

Beliau sependapat dengan Belisle bahawa hakikat sebenar adalah jauh lebih buruk kerana data yang ada sudah tidak lagi relevan.
– AFP
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373