Serangan berdarah di Gaza, lebih 250 maut dalam 24 jam

Estimate Reading Time: 2 minutes

GAZA: Israel terus memperhebatkan pertempuran di Gaza dengan Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan lebih 250 rakyat Palestin terbunuh dan 500 cedera dalam tempoh 24 jam lalu.

-Advertisement-

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan serangan bertubi-tubi di seluruh wilayah Palestin dan memburukkan lagi keadaan bagi orang awam dalam peperangan yang masuk minggu ke-12.

Menurut pihak berkuasa Palestin, empat serangan besar sejak Ahad lalu membunuh lebih 100 orang.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tetap berpegang kepada ikrar ‘pihaknya tidak akan berhenti selagi tidak menghapuskan Hamas sama sekali’.

“Kami sedang memperhebatkan pertempuran dalam beberapa hari akan datang,” katanya selepas lawatan terkini ke Gaza semalam.

Kementerian Kesihatan berkata seramai 10 ahli sebuah keluarga terbunuh dalam serangan Israel di kem Jabalia, utara Gaza dan 18 orang maut dalam pengeboman ke atas Khan Yunis di selatan.

Sebelum subuh, serangan Israel ‘menyasarkan sebuah rumah’ di kawasan Al-Zuwaida di tengah-tengah Gaza, berhampiran Al-Mughazi dan membunuh sekurang-kurangnya 12 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Konflik itu meningkatkan ketegangan di seluruh Asia Barat dengan Iran menuduh Israel membunuh seorang jeneral kanan Pengawal Revolusi Iran di Syria dan berikrar untuk membalas dendam.

Perayaan Krismas di Baitulaham, yang dianggap oleh penganut Kristian sebagai tempat kelahiran Nabi Isa, dibatalkan.

Jalan-jalan bandar yang biasanya meriah hanya mempunyai segelintir penduduk dan pelancong.

-Advertisement-

Peperangan di Gaza setakat ini membunuh sekurang-kurangnya 20,674 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Dianggarkan 1.9 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan ramai yang melarikan diri ke selatan dan bersesak-sesak di tempat perlindungan atau khemah sementara ketika musim sejuk.

Ketua Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Filippo Grandi berkata, gencatan senjata kemanusiaan di Gaza adalah satu-satunya jalan ke hadapan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, pihaknya mengetuai misi di hospital yang hampir tidak berfungsi di utara Gaza, pada hujung mingh

Penyelaras kecemasan WHO, Sean Casey, menggambarkan keadaan terkini penduduk sebagai semakin terdesak dan kelaparan sehingga menyerbu trak yang membawa bekalan bantuan

“Semua orang yang kami temui sedang kelaparan, malah tidak kurang juga yang sudah mencapai tahap kebuluran serius,” katanya,

Israel semalam mengecam tindak balas PBB terhadap perang di Palestin, dengan Menteri Luar, Eli Cohen, menuduh badan dunia itu sebagai ‘munafik’ dan berkata ketuanya, Antonio Guterres, ‘menghalalkan jenayah perang’.

“Kami akan berhenti bekerja dengan mereka yang bekerjasama dan menyokong propaganda Hamas,” katanya menerusi hantaran di media sosial X.

Tambahnya, kementeriannya tidak akan melanjutkan visa kemasukan seorang pekerja PBB dan akan menolak kemasukan untuk yang lain.
– AFP
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373