Shahmalarani tak tertekan sasaran emas

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Atlet karate wanita negara, C Shahmalarani enggan terbawa-bawa dengan sasaran pingat emas yang ditetapkan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) ke atas dirinya apabila menggalas cabaran pada Kejohanan Karate Asia ke-19 bermula esok.

-Advertisement-

Shahmalarani, 25, berkata dia tidak mahu beraksi dalam keadaan tertekan yang mampu menjejaskan fokusnya bagi menghadapi kejohanan kali ini.

“Ia memang sebahagian daripada sistem (sasaran persatuan) dan jika berjaya meraihnya, sudah tentu saya sangat gembira.

“Ia bukan pentas untuk mencari pengalaman lagi tetapi kita perlu pergi ke sana dan mendapatkan emas dengan memberi persembahan sehabis baik,” katanya.

Kejohanan Karate Asia yang berlangsung di Melaka bakal disertai lebih 500 atlet dari 32 buah negara.

Ia juga dianggap kejohanan pra Sukan Asia Hangzhou di China dari 23 September hingga 8 Oktober depan.

-Advertisement-

“Setakat ini persiapan pasukan karate kebangsaan berjalan lancar dan semua mahukan kemenangan terutama apabila beraksi di laman sendiri.

“Saya kekal beraksi dalam kategori yang sama (-50 kilogram) dan berharap mampu mampamerkan aksi cemerlang di kejohanan yang dianggap sebagai pra Sukan Asia ini. Di sini jugalah kita boleh menguji kemampuan semasa berbanding negara lain,” katanya.

Kejohanan itu kembali diadakan di Malaysia selepas kali terakhir pada 2007 di Seremban yang menyaksikan skuad karate negara meraih empat emas, lima perak dan empat gangsa.

Pada edisi terakhir di Tashkent, Uzbekistan tahun lalu, S Prem Kumar dan Arif Afifuddin kedua-duanya berjaya membawa pulang gangsa dalam kategori bawah 55kg dan bawah 84kg.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373