‘Tiada MA63, tiada Malaysia’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Cadangan supaya perjanjian baharu diwujudkan bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah pandangan terpesong daripada perjuangan nasionalisme negara.

-Advertisement-

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, menegaskan tiada sesiapa boleh mengubah perjanjian asas yang membawa kepada pembentukan Malaysia.

“MA63 adalah dokumen suci dan ia bermaksud jika tiada MA63, tiadalah Malaysia. Kalau orang pedalaman Sabah, mereka berpandangan MA63 ibarat batu sumpah.

“Tiada siapa harus mengubah perjanjian asas yang membawa kepada pembentukan Malaysia. Mana-mana pandangan mencadangkan perjanjian baharu adalah pandangan terpesong daripada perjuangan nasionalisme negara,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) berhubung cadangan beberapa ahli politik mengenai perlunya perjanjian baharu menggantikan MA63.

Maximus berkata, pandangan dan cadangan mewujudkan perjanjian baharu itu mengelirukan serta jauh tersasar, selain tidak selaras dengan Perlembagaan.

-Advertisement-

Tegasnya, MA63 sudah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang harus dipatuhi.

“Kita harus memberi tumpuan kepada perkara seperti sama ada apa yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia dipatuhi atau sama ada hak itu belum dipenuhi, jadi menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakannya.

“Kita harus bersatu padu membina kekuatan, keamanan dan perpaduan negara ini demi anak cucu kita,” katanya.

-BH