Warga MPB Terima Pengiktirafan Kecemerlangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING 18 September 2026 (The Capital Post) – Kecemerlangan serta komitmen warga Lembaga Lada Malaysia (MPB) terus diberi pengiktirafan menerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan MPB 2026 yang berlangsung di Kuching, Sarawak, semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Sri Huang Tiong Sii, sebagai penghargaan kepada warga MPB yang menunjukkan prestasi, dedikasi dan sumbangan dalam memperkukuh organisasi serta pembangunan industri lada negara.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Perkhidmatan Setia diberikan kepada penerima yang telah menunjukkan komitmen serta khidmat bakti dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Dalam ucapannya, Huang turut mengetengahkan perkembangan yang dicapai MPB dalam memperkasa industri lada, termasuk usaha memperluas produk hiliran, pendigitalan perkhidmatan dan penerapan teknologi bagi membantu pekebun serta pemain industri.

-Advertisement-

Sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas, MPB telah membimbing sebanyak 77 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menghasilkan 220 produk runcit berasaskan lada.

Nilai jualan terkumpul produk hiliran yang dihasilkan usahawan di bawah bimbingan MPB pula dianggarkan mencecah sekitar RM20 juta setahun, mencerminkan potensi sektor hiliran dalam meningkatkan nilai tambah industri lada tempatan.

Kementerian Perladangan dan Komoditi turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah serta seluruh warga MPB atas sumbangan, profesionalisme dan integriti dalam menyokong usaha memastikan industri lada Malaysia terus berkembang dan kekal berdaya saing – The Capital Post