Yongbo sesuai ganti Misbun

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Berdasarkan reputasi tinggi dimiliki Datuk Misbun Sidek, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka berdepan kesukaran untuk mendapatkan penggantinya bagi memikul tanggungjawab selaku pengarah pembangunan remaja negara.

-Advertisement-

Andai calon tempatan yang dipertimbangkan, sukar untuk menemui calon setaraf dengan kredibiliti dimiliki Misbun.

Bagaimanapun, jika calon luar negara menjadi buruan, bekas ketua jurulatih China, Li Yongbo antara calon yang dilihat memenuhi semua kriteria diperlukan.

Malah, usaha untuk mendapatkan khidmat Yongbo tampak boleh menjadi mudah buat BAM selepas badan induk itu menandatangani perjanjian penajaan bersama syarikat pengeluar barangan elektronik dari China, FreeYond, Mei lalu.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ketika itu memaklumkan, Pengarah FreeYond, Datuk Eddie Chai Woon Chet mempunyai hubungan baik dengan Yongbo dan sedia untuk membawa pemain negara berlatih di Akademi Badminton Li Yongbo di Dongguan, China.

Justeru, hubungan baik Eddie dengan Yongbo juga mungkin boleh membuka jalan rundingan antara BAM dengan jurulatih berkenaan untuk mengetuai struktur kejurulatihan skuad remaja negara.

Yongbo mempunyai reputasi tinggi dalam arena badminton dunia apabila pernah menjadi ketua jurulatih China selama 24 tahun dan menjadi watak penting kejayaan dihasilkan legenda badminton dunia, Lin Dan yang lima kali muncul juara dunia dan dua kali memenangi pingat emas Sukan Olimpik.

Bagi pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli, calon yang bakal dilantik perlulah mempunyai reputasi yang lebih hebat daripada Misbun.

Beliau berkata kekosongan ditinggalkan Misbun perlu diisi segera tetapi pada masa yang sama menegaskan ia tidak boleh sekadar tangkap muat sahaja.

Katanya, BAM sudah tiada masa untuk menggunakan khidmat jurulatih yang dilantik dan diberi tempoh percubaan.

-Advertisement-

“Untuk melahirkan pemain remaja hebat, jurulatihnya juga mesti hebat. Kita juga perlu menilai jurulatih yang mempunyai falsafah permainan badminton yang diamalkan sekarang ini.

“Bukan permainan ‘stroke’ tidak penting tetapi perlu seiring dengan corak permainan pantas. Jadi, tahap kecergasan pemain perlu sangat-sangat tinggi.

“Cara bermain bijaksana, strategi mendapatkan mata tanpa perlu membazirkan tenaga yang banyak. Justeru strategi permainan ‘game plan’ perlu ada pada falsafah jurulatih ini nanti,” katanya.

Menurut Pekan, calon yang akan dilantik juga mesti mempunyai kualiti sebagai jurulatih terbaik antaranya pengetahuan dan pengalaman dari aspek pembangunan pemain, mampu berkongsi ilmu dengan baik, cemerlang dari aspek motivasi kepada pemain, boleh berkomunikasi dengan jelas, berdisiplin tinggi, berkomitmen tinggi dan sangat ‘passion’ dalam tugasnya.

“Jika kita ada jurulatih sebegini saya yakin kita dapat melahirkan kembali pemain remaja menjadi juara remaja dunia,” katanya.

Sementara itu, bekas pemain perseorangan kebangsaan, Roslin Hashim yang pernah mendapat sentuhan Misbun berharap BAM dapat memberi keutamaan bagi melantik calon dalam kalangan jurulatih tempatan.

“Kalau ada jurulatih tempatan yang benar-benar layak, kenapa tidak? Kita dahulukan jurulatih yang ada di sinilah, kenapa kita perlu ambik dari luar negara.

“Namun, jika betul-betul tiada yang layak atau tidak mencapai standard, barulah kita tengok calon dari luar negara,” kata Roslin.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373