KPWKM Perkukuh Belanjawan 2027 Menerusi Suara NGO

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 15 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkukuh penyediaan cadangan Belanjawan 2027 menerusi Sesi Libat Urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan sasar yang menghimpunkan seramai 250 peserta.

Sesi tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, dengan turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Puan Lim Hui Ying serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM, YBrs. Encik Mohd Daud bin Mohd Arif.

Penganjuran sesi libat urus itu menjadi platform rasmi kementerian untuk mendapatkan pandangan, cadangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi memperhalusi keutamaan serta perancangan Belanjawan 2027 KPWKM.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada perkongsian pengalaman sebenar di lapangan serta pengumpulan cadangan konkrit daripada wakil NGO dan kumpulan sasar agar setiap inisiatif yang dirancang dapat disesuaikan dengan keperluan komuniti di peringkat akar umbi.

-Advertisement-

Pendekatan tersebut selaras dengan usaha KPWKM untuk memastikan setiap peruntukan yang dirancang memberi impak optimum, berorientasikan hasil serta memberi manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Sesi libat urus berkenaan turut mencerminkan komitmen kementerian dalam memastikan cadangan Belanjawan 2027 disediakan secara lebih komprehensif dan inklusif, di samping memberi perhatian kepada keperluan semasa rakyat serta memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima manfaat pembangunan. – The Capital Post