Ahmad Amzad akan fail rayuan untuk kerusi Parlimen Kuala Terengganu

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Bekas Timbalan Menteri Sains dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, akan memfailkan rayuan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya semalam yang membatalkan kemenangannya di kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

-Advertisement-

Beliau berkata, peguamnya, Wan Rohimi Wan Daud, memaklumkan akan memfailkan permohonan penggantungan sehingga rayuan didengar di Mahkamah Persekutuan.

“Peguam memaklumkan akan mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita dimaklumkan rayuan akan dikemukakan dengan kadar segera, tetapi mungkin selepas cuti Aidiladha ini,” katanya pada sidang media semalam.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, membenarkan petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Zubir Embong, sekali gus membatalkan kemenangan Ahmad Amzad pada PRU15.

Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar kos RM50,000 kepada pempestiyen.

-Advertisement-

Mengulas keputusan itu, Ahmad Amzad mengakui bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

“Saya hendak rehat sekejap sepanjang tempoh cuti Aidiladha,” katanya.

Pada PRU15, Ahmad Amzad yang bertanding atas tiket PAS memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu menewaskan tiga lagi calon iaitu Mohd Zubir dari BN, selain Mohamad Abu Bakar Muda (PEJUANG) dan Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (Pakatan Harapan).

Mengenai kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas JKPK) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan di Parlimen, Ahmad Amzad berkata, dia akan minta pandangan daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373