Cadangan tarikh bubar Parlimen mungkin dibawa menghadap Agong petang ini – PM

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan akan mengemukakan cadangan dan membincangkan isu tarikh pembubaran Parlimen, ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara yang dijadualkan pada jam 4 petang ini.

-Advertisement-

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, ia hanya akan dilakukan jika perkara membabitkan urusan Kabinet dapat diselesaikan lebih awal.

Beliau menjelaskan, sesi petang ini adalah agenda mingguan atau pra-Kabinet yang dilakukan sebelum setiap mesyuarat Kabinet.

“Tidak pasti lagi hendak bawa atau tidak (isu tarikh pembubaran Parlimen). Kalau perbincangan mengenai hal Kabinet panjang sangat, fasal kabinet sajalah.

“Kita tengok dulu… kalau bincang sampai waktu (solat) Maghrib, tidak sempat hendak bincang hal lain,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan beliau, hari ini, dengan pegawai Kementerian Kewangan yang bertungkus lumus menyediakan dokumen Bajet 2023 menjelang pembentangannya esok.

Ismail Sabri berkata, pada sesi pra-Kabinet, beliau lazimnya memberi ringkasan mengenai perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet, selain menerima pesanan daripada baginda untuk dimaklumkan pada mesyuarat berkenaan nanti.

-Advertisement-

Perdana Menteri turut menjelaskan, mesyuarat Kabinet kebiasaannya diadakan pada Rabu dan beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 4 petang Selasa.

Namun apabila Parlimen sedang bersidang, katanya, mesyuarat Kabinet akan dijalankan pada Jumaat dengan sesi pra-Kabinet diadakan pada jam 4 petang Khamis.

Berita lanjut menyusul

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373