Jenayah seksual dalam kalangan pelajar di Selangor meningkat

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Kadar jenayah seksual dalam kalangan pelajar bawah 18 tahun dan kes keganasan rumah tangga di Selangor meningkat dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

-Advertisement-

Peningkatan dua kes itu antara penyumbang kepada kenaikan lima peratus kadar jenayah di negeri itu setakat Mei tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata

sebanyak 5,779 kes jenayah direkodkan pada Januari hingga Mei tahun ini, berbanding 5,484 kes pada tempoh sama tahun lalu.

“Antara jenayah yang meningkat adalah jenayah seksual terutamanya dalam kalangan pelajar serta keganasan rumah tangga.

“Bagaimanapun, peningkatan ini tidak perlu dirisaukan kerana masih dalam keadaan terkawal iaitu di bawah paras yang ditetapkan oleh Pelan Strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang media selepas Program Kesedaran Autisme PDRM Selangor, di sini, hari ini.

Hussein berkata, pihaknya meneruskan usaha untuk mengawal serta mengurangkan kadar jenayah dengan mengadakan rondaan secara bersasar terutamanya di ‘kawasan panas’ jenayah.

Beliau berkata, polis juga mengoptimumkan penggunaan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), selain mengadakan kempen di sekolah serta kawasan bersasar.

-Advertisement-

Mengulas lanjut, Hussein berkata, pendedahan dan akses yang luas kepada sosial media adalah antara faktor yang dikesan mendorong peningkatan kes jenayah seksual dalam kalangan pelajar.

“Kurang kawalan dari ibu bapa dan penjaga juga dikesan menjadi antara faktor peningkatan kes berkenaan. Justeru, pelajar perlu diberi pendedahan berkaitan kesedaran seksual supaya mereka tidak terjerumus dan menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, Hussein berkata, Polis Selangor bercadang untuk menubuhkan pusat autisme bagi kalangan warga PDRM.

Katanya, pusat berkenaan masih dalam cadangan awal dan memerlukan kajian mendalam supaya ia realistik dan praktikal.

“Statistik kita mendapati ada sebilangan pegawai dan anggota yang mempunyai anak autisme.

“Justeru, kita mengambil satu inisiatif untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa ini untuk menguruskan anak ini dengan efektif supaya mereka tidak tercicir dalam perkembangan minda dan juga persekolahan,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373