KPWKM Perkukuh Latihan Pengurusan Bencana

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUANTAN 20 Julai 2026 (The Capital Post) – Seramai 48 peserta daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berjaya menamatkan Kursus Asas Pengurusan Bencana yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Julai 2026 sebagai usaha memperkukuh tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi bencana.

Program yang dianjurkan KPWKM itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Penganjuran kursus berkenaan mengangkat pendekatan Whole-of-Government bagi memperkukuhkan penyelarasan antara agensi supaya pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, pantas dan berkesan.

Sepanjang kursus berlangsung, peserta diberikan pendedahan menyeluruh menerusi sesi perkongsian oleh pakar daripada agensi berkaitan, selain mengikuti lawatan pembelajaran ke Depoh Logistik Pusat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan. Mereka turut menyertai simulasi bencana yang direka menyerupai situasi sebenar bagi meningkatkan kefahaman terhadap keperluan bertindak pantas, memperkukuh komunikasi serta mengoptimumkan kerjasama antara agensi ketika berdepan insiden kecemasan.

Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, YBhg. Datin Safida Zalma Mohd Piah yang menekankan bahawa pengurusan bencana memerlukan komitmen dan penyelarasan menyeluruh daripada semua pihak, bukan hanya bergantung kepada satu agensi semata-mata. Beliau turut menggesa peserta memanfaatkan ilmu serta pengalaman yang diperoleh sepanjang latihan untuk diterjemahkan kepada tindakan yang profesional, berintegriti dan penuh empati ketika melaksanakan tugas di lapangan. Beliau juga menyertai simulasi bencana bagi melihat sendiri kepentingan tindakan bersepadu dalam operasi pengurusan bencana.

-Advertisement-

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat, Puan Rosmahwati Ishak, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad serta wakil daripada agensi yang terlibat.

KPWKM menegaskan komitmennya untuk terus memperkasa kompetensi penjawat awam menerusi latihan praktikal dan kolaboratif agar kebajikan rakyat sentiasa terjamin, di samping memastikan bantuan kepada mangsa bencana dapat disalurkan secara pantas, tersusun dan berkesan apabila diperlukan. – The Capital Post