Penumpang MYAirline banjiri media sosial dengan luahan kemarahan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Media sosial menjadi tumpuan penumpang penerbangan, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) untuk meluahkan kemarahan masing-masing, susulan tindakan syarikat itu menghentikan operasinya secara mengejut hari ini.

-Advertisement-

“Semalam masih boleh tambah bagasi, hari ini sudah digantung penerbangan,” kongsi seorang penumpang penerbangan itu yang tiba di lapangan terbang awal pagi hari ini dan kecewa kerana tidak dimaklumkan lebih awal mengenai penggantungan operasi syarikat penerbangan tambang murah itu.

Pengguna yang menggunakan nama Puteri Balqis antara puluhan lain yang meluahkan kekecewaan di laman media sosial “X.”

Dalam hantaran itu, katanya beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) seawal 4 pagi ini dan menunggu sehingga jam 5.40 pagi, namun tiada pekerja syarikat itu yang berada di kaunter.

“Saya dah tiba di KLIA2 untuk menunggu waktu daftar masuk bagasi jam 7.30 pagi dan sudah berada di sini sejak jam 4 pagi, semua penumpang menunggu di sini,” katanya.

Katanya, ada dalam kalangan penumpang MYAirline dari golongan warga emas dan beliau sendiri perlu segera ke Kota Kinabalu, Sabah untuk urusan kecemasan.

“Sepatutnya maklum kepada kami lebih awal, jangan aniaya orang begini. Tolong bayar balik duit kami, saya terpaksa beli tiket baru untuk ke Kota Kinabalu kena ada urusan penting. Ramai lagi yang menjadi mangsa termasuk warga emas. Kasihan mereka,” katanya.

Putri Balqis berkata, tindakan MYAirline itu boleh dianggap tidak bertanggungjawab kerana gagal memaklumkan kepada pelanggan dengan lebih awal.

Seorang lagi penumpang, Sharifah Shahidah, berkata beliau juga sudah membeli tiket penerbangan dan menggesa syarikat itu menyelesaikan segera bayaran balik tiketnya.

“Mereka tak peduli nak letak nombor telefon untuk dihubungi, hanya emel. Ini mencetuskan keresahan kepada pelanggan yang mahukan penjelasan lebih terperinci. Saya sudah mengirimkan emel dan sedang menunggu respon mereka segera,” katanya di laman X.

-Advertisement-

Antara luahan penumpang termasuk gagal mencari nombor tempahan mereka menerusi aplikasi MYAirline atau laman web syarikat itu.

Pelanggan yang dikenali sebagai Hajar Rashdi, berkata beliau sudah membeli tiket untuk penerbangan bulan hadapan.

“Jika sudah tahu begini, selesaikan segera bayaran balik duit kami, sudahlah tidak ada sebarang notifikasi, nak cari nombor tempahan pun dah tak ada,” katanya.

Terdahulu awal pagi ini, MYAirline mengumumkan penggantungan operasi penerbangan syarikat itu berkuat kuasa hari ini sehingga diberitahu kelak.

Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan penggantungan berkenaan dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

Sementara itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menyediakan talian dan saluran khusus untuk membantu pengguna yang terjejas oleh penggantungan mengejut operasi syarikat penerbangan terbabit.

MAVCOM dalam kenyataannya, meminta semua pengguna terjejas yang telah membuat tempahan dengan MYAirline untuk penerbangan hari ini supaya menghubungi saluran aduan khusus syarikat penerbangan itu untuk pertanyaan dan bantuan berkenaan dengan tempahan mereka

MAVCOM menegaskan, walaupun menggantung operasi, MYAirline masih bertanggungjawab membayar balik pengguna yang telah membeli tiket dengan syarikat penerbangan tetapi tidak dapat melakukan perjalanan.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373