Tambah baik keberkesanan sistem RFID elak plaza tol sesak

Estimate Reading Time: 3 minutes

Oleh Dr Mohd Hafiz Zulfakar

-Advertisement-

bhrencana@bh.com.my

Kutipan tol secara elektronik termasuk melalui kad Touch ‘n Go (TNG), SmartTAG dan terbaru Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), sejajar perkembangan teknologi dalam era automasi dan digitalisasi. Keberkesanan penggunaan kutipan berkenaan berjaya memberi perkhidmatan lebih mudah, pantas serta melancarkan perjalanan pengguna lebuh raya.

Bermula Sabtu lalu, era kutipan tol elektronik memasuki fasa baharu apabila kaedah kutipan menggunakan kad TNG dan SmartTAG akan dihentikan berperingkat. Ini memberi jalan kepada pelaksanaan kutipan tol menggunakan teknologi RFID lebih menyeluruh khususnya bagi kenderaan ringan persendirian di lebuh raya bertol di Pantai Barat Semenanjung, termasuk di Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Ini sejajar Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar dirancang Kementerian Kerja Raya yang bertujuan melaksanakan pelan jangka panjang lebih efektif dengan pengenalan perkhidmatan Sistem Tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong pada 2026 yang terbukti berkesan termasuk di kota raya seperti London, Singapura dan Melbourne.

Inisiatif pelaksanaan ini wajar disambut baik pengguna kerana akan menikmati perjalanan lebih senang dan selamat. Seperti kad TNG dan SmartTAG, RFID memastikan tiada transaksi tol dilakukan secara fizikal di lorong tol, manakala tambah nilai boleh dilakukan tanpa perlu ke pusat tambah nilai kerana melalui aplikasi TNG eWallet.

Di samping itu, pemasangan dan penyelenggaraan tag RFID jauh lebih menjimatkan pengguna.

Berbanding SmartTAG berharga sekitar RM100 dan perlu ditukar bateri secara berkala, tag RFID hanya berharga sepertiga, mudah dipasang sendiri dan tidak memerlukan bateri untuk berfungsi.

Namun, berdasarkan maklum balas pengguna mengenai penggunaan sedia ada tag RFID ini khususnya di plaza tol terbuka di Lembah Klang, ada penambahbaikan wajar diberi perhatian bagi memastikan objektif pelaksanaan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya.

Antara perlu diberi perhatian ialah keberkesanan sistem pemancar dan pengimbas tag RFID sedia ada. Ketika ini, ada pengguna terpaksa memperlahankan kenderaan ketika memasuki lorong RFID bagi membolehkan imbasan tepat.

Ada juga mengeluh tag dipasang tidak dapat dikesan dan dibaca ketika melalui plaza tol. Ini mengakibatkan mereka terpaksa berhenti dan mengundur beberapa kali. Sekiranya masih gagal, mereka terpaksa mengundur untuk menukar laluan bagi menggunakan kad TNG.

Suasana ini akan mengakibatkan kesesakan bahkan perasaan panik kepada sesetengah pemandu, sekali gus boleh mendatangkan risiko kemalangan di plaza tol.

-Advertisement-

Jumlah lorong RFID di plaza tol juga perlu ditambah bagi melancarkan transaksi. Ketika ini, majoriti plaza tol hanya mempunyai satu sahaja lorong untuk transaksi tol kaedah berkenaan. Ini jelas tidak mencukupi ketika berdepan waktu puncak harian atau ketika musim perayaan, terutama sekiranya berlaku situasi kegagalan imbasan tag.

Di samping itu, kelekaan pengguna memastikan jumlah wang baki secukupnya dalam akaun e-dompet turut menjadikan suasana kesesakan di lorong RFID. Ini disebabkan sistem sedia ada tidak akan membenarkan duit ditolak sekiranya jumlah minimum bayaran tidak mencukupi.

Apa yang boleh dicadang bagi mengatasi masalah ini adalah membenarkan kutipan baki negatif pada kadar maksimum tertentu. Baki negatif boleh ditebus semula ketika tambah nilai seterusnya. Justeru, tiada kelibat kenderaan terpaksa ‘bersidai’ sementara menunggu pekerja plaza tol untuk menjelaskan bayaran.

Selain itu, kerjasama dengan pihak bank boleh diwujudkan agar akaun e-dompet disambung terus ke akaun simpanan pengguna seperti dilaksanakan di negara Kesatuan Eropah (EU) dan Australia.

Difahamkan juga, seiring pelaksanaan sistem RFID, sistem pengecaman nombor pendaftaran automatik (ANPR) turut akan diperkenalkan secara berperingkat. Sekiranya sistem ANPR ini boleh diintegrasikan dengan pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sistem kutipan tol boleh dilaksanakan lebih efektif.

Hal ini sudah digunakan di Melbourne dengan kutipan tol dikutip melalui bil dihantar terus ke alamat rumah pengguna berdasarkan maklumat diperoleh daripada sistem ANPR dan senarai daftar hak milik kenderaan.

Langkah kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya ini wajar diberi sokongan khususnya pengguna lebuh raya.

Inisiatif penambahbaikan seperti terkandung dalam Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar berhasrat mewujudkan sistem pengangkutan lancar untuk rakyat serta memastikan aksesibiliti dan mobiliti rakyat ke tahap terbaik.

Aksesibiliti dan mobiliti tahap tinggi asas kepada kejayaan masyarakat mencapai taraf kehidupan negara maju.

-BH