Aktiviti buru saham murah lonjak Bursa Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 5 Jan 2023 (The Capital Post): Aktiviti memburu saham berharga murah mendorong Bursa Malaysia dibuka dalam zon positif pada pagi urus niaga Khamis.

-Advertisement-

Pada 9.38 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.55 mata kepada 1,475.10 daripada 1,469.55 pada penutupan urus niaga Rabu.

Pasaran pagi ini memulakan dagangan dengan 2.91 mata lebih tinggi pada 1,472.46.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 273 berbalas 204, manakala 292 kaunter tidak berubah, 1,440 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 657.43 juta unit bernilai RM208.27 juta.

Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd, walaupun terdapat aktiviti memburu saham berharga murah, sentimen keseluruhan masih agak membosankan kerana bursa tempatan sedang mengalami konsolidasi yang sederhana.

“Namun begitu, kami masih berpendapat bahawa ekuiti tempatan sudahpun matang untuk pengumpulan dan indeks dijangka menunjukkan lantunan dalam masa terdekat. Oleh itu, kami mengunjurkan indeks berada dalam julat 1,465 hingga 1,475 hari ini.

“Sementara itu, kebimbangan terhadap permintaan yang lemah dari Amerika Syarikat (AS) menyaksikan harga minyak mentah merosot teruk dengan minyak mentah Brent lemah menjadi AS$78 setong dan ini boleh memberi kesan kepada stok minyak dan gas hari ini,” katanya dalam nota hari ini.

-Advertisement-

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat lima sen kepada RM8.76, Public Bank dan TNB menokok tiga sen, masing-masing mencatatkan RM4.31 dan RM9.40, CIMB meningkat tujuh sen kepada RM5.72 manakala Digi tidak berubah pada RM3.84 dan Petronas Chemicals susut lima sen menjadi RM8.40.

Bagi saham aktif, Prolexus peroleh 3.5 sen kepada 54 sen dan Citaglobal naik setengah sen menjadi 33 sen, manakala Velesto tidak berubah pada 15.5 sen, Hong Seng Consolidated turun setengah sen kepada 17.5 sen, Revenue Group susut tujuh sen menjadi 60.5 sen dan L&P Global lemah dua sen kepada 52 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 37.98 mata kepada 10,600.38, Indeks FBMT 100 meningkat sebanyak 38.33 mata menjadi 10,310.13, dan Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi 21.82 mata kepada 10,780.56.

Indeks FBM 70 memperoleh 46.49 mata kepada 13,019.12 manakala Indeks ACE FBM mengecil 10.31 mata kepada 5,368.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 100.91 mata menjadi 16,421.45, Indeks Perladangan 6.06 mata lebih tinggi pada 6,883.60, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.02 mata kepada 181.40 dan Indeks Tenaga berkurangan 2.58 mata kepada 778.65.

-BERNAMA -BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279